SD Azilah beri kesan ketara dalam kes saman balu PI Bala - Peguam
Akuan berkanun (SD) mengaitkan Najib Razak didakwa memberi arahan pembunuhan Altantuya Shaariibuu bakal memberi "kesan ketara" dalam usaha untuk memasukkan bekas perdana menteri itu dan tujuh yang lain sebagai pihak ketiga dalam kes saman sivil balu PI Bala yang berkaitan dengan kematian warga Mongolia tersebut.
Hal ini dimaklumkan peguam Vinod Kamalanathan yang bertindak mewakili saudagar karpet Deepak Jaikishan, yang memohon Najib, isterinya Rosmah Mansor dan enam orang lagi menjadi pihak ketiga dalam kes saman tersebut..
"Jika ia (SD) melibatkan PI Bala dan keseluruhan mereka (Najib dan tujuh yang lain), ia akan mempunyai kesan yang ketara terhadap kes itu," kata Vinod kepada Malaysiakini petang ini.
Vinod merujuk laporan eksklusif Malaysiakini hari ini berkait SD bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri yang mendakwa Najib mengarahkan pembunuhan Altantuya.
Azilah dan seorang lagi rakannya, Sirul Azhar Umar disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan atas pembunuhan Altantuya pada 2006.
Pada 29 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan peguam Deepak (gambar, bawah) menyerahkan notis tuntutan pihak ketiga terhadap Najib, isterinya Rosmah Mansor; adiknya Mohd Nazim dan Ahmad Johari; peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.
Terdahulu, Najib, Rosmah, Johari, Nazim, Cecil, Sunil, Arulampalam, Zainal dan Deepak dinamakan sebagai defendan dalam saman sivil atas kerugian yang didakwa ditanggung mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam, lebih dikenali sebagai PI Bala dan keluarganya ketika lari ke India pada 2008 susulan kaitan pembunuhan Altantuya pada 2006.
Bagaimanapun, pada 25 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan beberapa yang lain untuk menggugurkan dirinya, Rosmah, Johari, Nazim, Cecil, Sunil, Arulampalam dan Zainal daripada tindakan undang-undang.
Keputusan Mahkamah Rayuan menjadikan Deepak defendan tunggal dalam kes saman itu, yang difailkan pada Ogos 2017.
Susulan itu, Deepak memohon Mahkamah Tinggi untuk mengeluarkan notis tuntutan pihak ketiga terhadap Najib dan rakan-rakannya supaya mereka berkongsi liabiliti dan beban ganti rugi dalam kes yang diputuskan mahkamah berpihak kepada balu mendiang Balasubramaniam.
Ketika pengurusan kes saman itu pada 8 Januari tahun ini, peguam Najib, Rosmah, Johari, Nazim, Cecil, Sunil, Arulampalam dan Zainal membantah untuk dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan balu mendiang Balasubramaniam, A Santamil Selvi (gambar, bawah) dan anak-anak pasangan itu.
Vinod hari ini berkata beliau akan bertemu dengan Deepak untuk membincangkan tentang SD itu, yang mungkin mempunyai "kesan ketara" terhadap permohonan pihak ketiga anak guamnya terhadap Najib dan tujuh orang lagi.
"Kami akan meneruskan perkara ini, saya akan berjumpa dengan anak guam (Deepak) dan membincangkan isu itu," katanya kepada Malaysiakini.
"Pihak-pihak lain (Najib dan tujuh yang lain) telah dilepaskan (daripada saman oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas). Kami telah memasukkan permohonan untuk membawa mereka masuk (sebagai pihak ketiga di dalam saman) yang masih belum selesai di mahkamah.
"SD baru ini (oleh Azilah) akan memberi kesan, tetapi saya perlu berbincang dengan anak guam (Deepak) mengenai maklumat baru ini," kata Vinod.
"Azilah sedang cuba untuk memohon mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan untuk mengarahkan perbicaraan semula (kes bunuh ini). Kenyataan semata-mata tidak akan memberi kesan. Kami perlu melihat apa yang (Azilah) akan tunjukkan (sebagai keterangan di dalam permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak keputusan kes bunuh Altantuya)."
Vinod percaya bahawa Azilah memohon perbicaraan semula kes bunuh Altantuya kerana dikatakan terdapat bukti penting yang tidak dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu.
"Kami tidak tahu apakah (bukti) itu, jadi kami perlu melihat apakah keterangan yang ingin ditunjukkan (Azilah)," kata Vinod lagi.
Dilaporkan Balasubramaniam dan keluarganya pulang dari India pada Februari 2013. Bagaimanapun, penyiasat persendirian itu meninggal dunia sebulan selepas kembali ke Malaysia akibat serangan jantung.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai