Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno Kelantan saran wanita saman Bersatu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda Umno Kelantan menyarankan Ketua Wanita Umno Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid, mengambil tindakan mahkamah terhadap Bersatu.

Cadangan itu dibuat susulan nama Dayang Saniah didapati berdaftar secara sah sebagai ahli Bersatu sedangkan pada masa sama masih menjadi ahli dan berjawatan dalam Umno.

Memetik laporan Malaysiakini pada 7 Dis lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata Bersatu perlu bertanggungjawab apabila Ketua Bersatu Tanah Merah, Bahari Mohd Nor mengesahkan bahawa Dayang Saniah tersenarai sebagai ahli parti berkenaan. 

"Kenyataan itu amat mengejutkan kita semua dan mencemarkan nama Dayang Saniah selaku ketua wanita Umno bahagian, dan ia juha juga imej baik Umno Kelantan.

"Justeru Pemuda Umno Kelantan menyokong satu tindakan saman dibuat ke atas pimpinan Bersatu Kelantan dan Bersatu Malaysia memandangkan tuduhan Dayang sebagai ahli Bersatu ini merupakan fitnah melampau dan bersifat politik keji ("gutter politic)," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini yang memetik sumber yang mendedahkan Dayang Saniah mempunyai dua keahlian parti serentak, iaitu Umno dan Bersatu.

Selain Dayang Saniah, difahamkan perkara sama juga berlaku terhadap beberapa anggota jawatankuasa Umno Tanah Merah. Ia kemudian disahkan masing-masing oleh ketua Umno dan ketua Bersatu bahagian terbabit. 

Bagaimanapun Dayang Saniah menafikan dia pernah mendaftar keahlian Bersatu dan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Sementara itu Noor Hariri (gambar) menegaskan, tindakan saman oleh Dayang Saniah ini penting bagi mendesak pimpinan Bersatu Tanah Merah untuk mengemukakan bukti jelas terhadap tuduhan serius berkenaan.

"Jawablah di mahkamah nanti. Kita yakin, kebenaran akan menyebelahi kami semua yang teraniaya.

"Pemuda Umno Kelantan juga menggesa pihak polis untuk menyiasat jenayah pemalsuan dokumen ini memandangkan Dayang Saniah sendiri telah membuat satu laporan polis. Ini satu jenayah penipuan dokumen yang amat serius dan tidak beretika.

"Siasatan juga boleh dibuat oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Peraturan Pertubuhan 1984 di mana penyalahgunaan nama ahli palsu boleh membatalkan parti Bersatu ini," jelasnya.

Menurut Noor Hariri, Pemuda Umno Kelantan yakin strategi Bersatu Tanah Merah yang mengisi ahli mereka secara senyap dan paksaan ini akan terbongkar apabila disiasat dengan lebih teliti dan adil.

"Amaran kepada Bersatu Tanah Merah, jangan jadikan pimpinan Umno di sini sebagai kambing hitam bagi menutup masalah ketiadaan ahli sehingga berisiko menjadikan Bersatu diharamkan," katanya.