Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia hantar penghujahan isu kawasan Laut China Selatan pada Unclos

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia telah membuat penghujahan separa berhubung kawasan perairan lautnya kepada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) bagi kawasan utara Laut China Selatan.

CLCS merupakan badan yang menyelia pelaksanaan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) berkenaan penetapan batas pelantar benua melangkaui 200 batu nautika dari 'baseline' (kawasan pantai cetek), di mana keluasan kawasan perairan laut diukur.

Malaysia membuat penghujahan itu pada 12 Disember, berkenaan Batas-Batas Pelantar Benua, selaras dengan Perkara 76 Perenggan 8 Unclos.

Dalam penghujahan itu, Malaysia berkata: "Ini adalah penghujahan separa untuk baki pelantar benua Malaysia melangkaui 200 batu nautika di bahagian utara Laut China Selatan.

"Pada 6 Mei 2009, Malaysia dan Vietnam membuat penghujahan bersama bagi bahagian batas pelantar benua untuk dua negara tersebut, di selatan Laut China Selatan.”

Unclos mula berkuatkuasa untuk Malaysia pada 13 November 1996.

Selaras dengan aturan prosedur suruhanjaya itu, satu kenyataan diedarkan kepada semua negara anggota PBB, agar rumusan eksekutif penghujahan itu terbuka kepada umum, termasuk semua carta dan koordinat yang disertakannya.


Baca: Perihal pertikaian Laut China Selatan


Pertimbangan terhadap penghujahan separa Malaysia akan dimasukkan dalam agenda sesi ke-53 suruhanjaya tersebut yang akan diadakan di New York dari 6 Julai hingga 21 Ogos 2021.

Selepas itu, suruhanjaya akan membuat syor selari dengan Perkara 76 Unclos.

Dalam dekad-dekad sebelum ini, beberapa negara telah membuat tuntutan bertindih terhadap kawasan-kawasan Laut China Selatan.

Indonesia, Filipina, Vietnam, China, Taiwan, Thailand, Brunei, Malaysia dan Singapura telah membuat tuntutan terhadap kawasan perairan di kawasan itu.

-Reuters