Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat pembersihan di Klang diserbu, 51 pekerja diselamatkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syarikat perkhidmatan pembersihan di Klang diserbu hari ini, beberapa minggu selepas sekumpulan bekas pekerja membuat aduan berkenaan dakwaan eksploitasi kepada NGO antarabangsa untuk hak pekerja migran, Migrant Care.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa serbuan itu disertai beberapa agensi, antaranya Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo), Jabatan Imigresen, polis Klang Utara, dan pegawai Jabatan Tenaga Kerja dari Putrajaya dan Selangor.

“Sejumlah 51 pekerja dibawa ke balai polis Klang Utara,” kata sumber itu, sambil memaklumkan 50 daripadanya ialah warga Indonesia dan seorang dari Kemboja.

Sumber berkata dua rakyat Malaysia yang dikenal pasti sebagai pekerja syarikat pembersihan, dan seorang pekerja agensi pengambilan kerja yang berkongsi premis, juga ditahan semasa serbuan yang mengambil masa selama tiga jam sekitar jam enam pagi tadi.

“Pemilik syarikat itu dikatakan berada di luar negara,”kata sumber lagi.

Secara kebetulan, serbuan ini sehari sebelum Hari Migran Antarabangsa yang bermula pada 1990 dan jatuh pada 18 Disember.

Ketika dihubungi kemudian, ketua polis daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh mengesahkan operasi itu dan tangkapan yang dibuat.

"Ia operasi sejumlah agensi...untuk menyelamatkan pekerja yang ditempatkan dalam tahanan, dan tak dibayar gaji.

"Permohonan reman akan dibuat di mahkamah (Klang) esok," katanya kepada Malaysiakini.

Wakil Migrant Care di Malaysia Alex Ong baru-baru ini mendakwa bahawa mereka yang dibawa untuk bekerja di syarikat perkhidmatan pembersihan itu juga dipaksa untuk bekerja sebagai pembantu rumah oleh agensi pengambilan pekerja itu, yang di bawah syarikat induk yang sama (sister company).

Dia berkata beberapa pekerja sudah dibuang baru-baru ini setelah cuba membuat protes terhadap tindakan majikan yang didakwa tidak membayar gaji dan melakukan unsur buruh paksa lain ketika bekerja.

Malaysiakini sebelum ini melihat memo yang dikeluarkan oleh Unit Pekerja Asing Jabatan Imigresen kepada salah seorang pekerja yang menunjukkan "masalah disiplin" sebagai sebab tidak lagi bekerja.

Ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini, Ong juga mendakwa wujud hubungan antara syarikat perkhidmatan pembersihan itu dan sebuah syarikat yang dahulunya membekal pembantu rumah - juga menggunakan premis sama dulu - yang dilapor media terlibat dengan dakwaan kesalahan pemerdagangan buruh pada 2012.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd