Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemaju Bandar Malaysia diberi tempoh 3 tahun bayar RM6.5b

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemaju Bandar Malaysia diberikan tempoh tiga tahun untuk pembelian saham berjumlah RM6.45 bilion bagi projek berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, tempoh itu dikurangkan berbanding tujuh tahun yang dirundingkan oleh kerajaan BN terdahulu.

Projek Bandar Malaysia sebelum ini ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana hubung kaitnya dengan skandal 1MDB.

Bagaimanapun Lim berkata projek ini diteruskan semula selepas melalui proses 'penyahtoksikan'.

Kerajaan mengekalkan IWH-CREC Sdn Bhd sebagai pemaju induk.

IWH-CREC ialah sebuah konsortium antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC).

Lim berkata demikian pada majlis di Putrajaya di mana IWH-CREC menandatangani perjanjian jualan saham dengan TRX City Sdn Bhd, secara rasmi bagi memulakan pembangunan di Sungai Besi itu.

Sebahagian daripada perjanjian itu dirunding semula kerajaan dengan TRX City memperoleh 50 peratus daripada dividen penjualan tanah, berbanding 40 peratus sebelumnya.

Manakala sebanyak 10,000 rumah mampu milik akan dibina berbanding 5000 unit yang dirunding sebelum ini.

Ditanya pada sidang akhbar bilakah pembinaan itu akan bermula, Lim berkata kontraktor perlu melalui prosedur terlebih dahulu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang turut hadir, bagaimanapun berkata, beliau telah meminta pembinaan dimulakan serta-merta.

Sementara itu Mahathir berkata Bandar Malaysia akan memiliki stesen untuk projek rel berkelajuan tinggi (HSR) yang dicadangkan dengan Singapura.

Beliau berkata butiran mengenai HSR itu masih di peringkat perbincangan bagi menurunkan kos.

Ini katanya, termasuk kemungkinan mengecilkan saiz projek dan menurunkan kelajuan kereta api.

"Adakah perlu 400 per jam ? Kerana jika kamu bergerak pada 400 kilometer sejam, kamu mungkin sampai Alor Setar," katanya secara berseloroh.