Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU baru pinda Artikel 1(2) perlembagaan dibentang tahun depan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rang undang-undang baru untuk meminda Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan semasa sesi persidangan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.

Ini berikutan perbincangan antara Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg di Putrajaya hari ini.

Menurut Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong, 17 daripada 21 isu pertikaian yang dikenalpasti oleh jawatankuasa khas kabinet bagi menyemak semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui semasa mesyuarat berkenaan.

Empat isu lain kekal dalam "Perbincangan aktif". 

Berikutan itu, Liew menggesa anggota parlimen meluluskan rang undang-undang berkenaan apabila ia dibentangkan semula.

"Saya menyeru kepada semua anggota parlimen untuk memberi sokongan bipartisan untuk pindaan ini memandangkan kepentingan kepada status Sabah dan Sarawak dalam persekutuan, yang dekat dengan hati setiap rakyat Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan.

Pada 9 April, kerajaan mendapat kurang 10 undi berbanding dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang bagi pindaan perlembagaan berkenaan.

Rang undang-undang itu bertujuan "memulihkan" status Sabah dan Sarawak sebagai "rakan kongsi yang sama" dengan Semenanjung dengan memulihkan Perkara 1 (2) kepada bentuk asalnya pada tahun 1963.

Sebahagian besar anggota parlimen pembangkang berkecuali daripada mengundi, kecuali tiga dari Sabah.

Beberapa anggota parlimen pembangkang mendakwa langkah itu hanya melibatkan "perubahan kosmetik" dan menuntut peruntukan lain dalam Perjanjian Malaysia 1963 diiktiraf terlebih dahulu.

Berikutan itu Putrajaya bersetuju melibatkan anggota parlimen dari Sarawak dan Sabah dalam dialog bersama.