Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Imran ada sebab tak dapat hadir Sidang Kemuncak KL

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini percaya rakan sejawatnya dari Pakistan, Imran Khan mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

“Itu pilihan dia. Kita tidak boleh paksa. Tiada paksaan dalam Islam. Dia tidak boleh datang, mungkin ada masalah lain,” katanya kepada wartawan selepas membuat tinjauan persiapan Sidang Kemuncak KL yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan Imran tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak KL 2019 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur mulai esok sehingga Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan di dalam sidang kemuncak itu, Dr Mahathir berkata Kuala Lumpur selaku tuan rumah telah menjemput 50 negara termasuk ketua-ketua negara untuk sama-sama terlibat dalam pelbagai perbincangan berkaitan dunia Islam.

Katanya persidangan ini tidak ada kaitan dengan perbincangan mengenai agama Islam, sebaliknya ia menfokuskan kepada keadaan ummah masa kini yang dilihat semakin tertindas.

“Di UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) saya, (Presiden Turki Recep Tayyib) Erdogan, Imran, berbincang tentang masalah yang dihadapi orang Islam. Salah satu cadangan ialah supaya kita jelaskan (bahawa) tidak ada sebab kenapa takut dengan agama Islam, Islamofobia,” katanya.

Beliau berharap persidangan selama empat hari itu akan dapat menghasilkan persefahaman bagaimana untuk menangani Islamofobia.

Sidang Kemuncak KL berlangsung mulai esok sehingga Sabtu dan didahului dengan Sidang Kemuncak Belia KL hari ini dan esok.

Sidang kemuncak itu juga bertujuan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baharu serta berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa dunia Islam, di samping menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam serta negara Islam.

- Bernama