Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertemuan Azilah-VVIP: 'Takkan mereka nak mengaku?'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhammad Shafee Abdullah tidak terkejut dengan kenyataan Jabatan Penjara Malaysia yang menafikan bahawa bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri pernah dibawa keluar dari penjara Kajang 10 bulan lalu untuk berjumpa dengan seorang "VVIP".

"Kamu fikir mereka akan mengakuinya?" soalnya.

"Mereka akan gantung diri sendiri. Sudah tentu mereka (akan) menafikannya," kata peguam itu kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi.

Shafee, yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak, mengulas mengenai penafian Jabatan Penjara bahawa Azilah dibawa keluar untuk berjumpa dengan seseorang individu berprofil tinggi pada Februari lalu.

Menurut jabatan itu, Azilah hanya dibawa keluar pada 15 April 2015 apabila banduan yang menunggu hukuman gantung itu dikehendaki menghadiri prosiding mahkamah di Sepang.

Shafee, semalam membuat kenyataan bahawa berdasarkan "maklumat yang sangat dipercayai” tetapi tidak boleh disahkan oleh dirinya bahawa banduan itu pernah dibawa keluar. Walau bagaimanapun, dia tidak mendedahkan identiti VVIP berkenaan.

Hari ini, wartawan sekali lagi mengajukan soalan yang sama kepadanya.

Ditanya sama ada beliau boleh menamakan VVIP tersebut atau tarikh sebenar perjumpaan yang didakwa itu, dia menjawab: "Saya tidak boleh, kami sedang berusaha, saya tidak boleh beritahu lebih daripada itu."

Azilah baru-baru ini memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang mendapati dirinya bersalah kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dia juga mengemukakan akuan berkanun (SD) yang mendakwa bahawa dirinya telah diarahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya, yang dituduh oleh bekas perdana menteri itu sebagai seorang perisik asing.

Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK polis, Sirul Azhar Umar.

Walau bagaimanapun, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia selepas pembebasan itu dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney.

Razak Baginda sekutu rapat Najib didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka itu tetapi dia juga kemudiannya dibebaskan.

Keputusan untuk tidak merayu pembebasan Razak Baginda dan proses mahkamah yang gagal mengketengahkan motif pembunuhan serta kegagalan pendakwaan untuk memanggil bekas ketua pengiring Najib, Musa Safri, yang didakwa oleh Azilah memainkan peranan penting, sebagai saksi menimbulkan spekulasi terdapat cubaan untuk menutup kes.

Najib menafikan dakwaan Azilah, dan menuduh semua itu semata-mata rekaan dan plot politik untuk membungkamnya.

[Baca berita penuh]