Skip to main
Logo Malaysiakini

PM harap Sidang Kemuncak KL cetus kegemilangan ummah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr Mahathir Mohamad melahirkan harapan agar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan membuka jalan ke arah pencapaian yang lebih besar bagi ummah.

“Kita berharap pada akhir sidang ini, kita akan dapat menggariskan beberapa inisiatif khusus sebagai pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar,” kata perdana menteri merangkap pengerusi sidang kemuncak itu, di Kuala Lumpur malam ini.

Dr Mahathir berkata demikian pada majlis malam menyambut peserta sidang kemuncak itu di sebuah hotel berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menjadi lokasi persidangan selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Beliau juga berkongsi pandangan dengan hadirin mengapa sidang kemuncak itu diadakan di ibu negara.

“Kita berusaha mengadakan sidang kemuncak ini kerana berasakan bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki kehidupan ummah di seluruh dunia,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan berpendapat semua pihak yang berkaitan perlu mengatasi Islamofobia.

"Kita perlu mencari jalan untuk menangani kekurangan, kebergantungan terhadap bukan Islam untuk melindungi diri kita daripada musuh Islam," katanya.

Amat kecil, jarang berlaku

Dr Mahathir turut mengambil peluang mengetengahkan kewujudan bersama kepelbagaian budaya dan agama masyarkat Malaysia.

Beliau berkata walaupun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam namun negara ini mempunyai sebilangan besar kumpulan minoriti daripada pelbagai agama, kebudayaan, adat-resam dan cara hidup yang berbeza.

Dr Mahathir menekankan kenyataan bahawa walaupun wujud pelbagai perbezaan, rakyat Malaysia dapat hidup secara aman antara satu sama lain.

“Kami tidak akan mendakwa sebagai orang Islam yang sempurna atau model negara Islam yang terbaik, tetapi kita dapat membuktikan bahawa kami dapat hidup dengan rakyat bukan Islam dalam suasana aman dan harmoni sejak berdekad -dekad lamanya,” katanya.

Tradisi itu, katanya, telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.

Dr Mahathir bagaimanapun mengakui ada konflik kaum dan agama namun ia dalam skala kecil.

“Insiden seperti itu amat kecil dan jarang berlaku... tidak memberi kesan jika dibandingkan dengan tempoh keamanan, muhibah dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“Bagi kami, inilah yang dituntut Islam - untuk hidup secara aman dengan orang bukan Islam dan bekerjasama membina sebuah negara yang sejahtera, aman dan harmoni,” katanya.

- Bernama