Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan sokong, berusaha kukuhkan DBP - ketua pengarah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ia boleh dilihat menerusi usaha yang ditunjukkan Kementerian Pendidikan, kata Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mempersoalkan pemberhentian pekerja membabitkan entiti yang mengembangkan bahasa Melayu.

Menggunakan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan New Straits Times Press (NSTP) sebagai contoh, Mohamad mempersoalkan sama ada ia kerana sikap tidak peduli kerajaan, selain faktor ekonomi.

"Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber, yang hampir sama,” katanya beberapa hari lalu.

Berbeza dengan sentimen yang disuarakan Mohamad, Abang Sallehuddin berkata Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan DBP.

"Menteri (Dr Maszlee Malik) sebelum ini melancarkan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Pembaca Kebangsaan. Apa yang penting beliau selalu berusaha untuk kementerian membantu DBP terutama berkenaan program yang kami boleh adakan.

"Di peringkat Kementerian Pendidikan, DBP mendapat pembelaan sewajarnya kerana beliau (Maszlee) memang meminati ilmu dan sastera," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, pembelaan kerajaan yang jelas terhadap sastera ialah pemberian elaun bulanan sebanyak RM5,000 kepada sasterawan negara seperti yang diumumkan pada Jun lalu.

"Ini tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

"Berkenaan kenyataan kerisauan seolah-olah kerajaan sekarang seperti tidak peduli institusi yang menggunakan bahasan kebangsaan, dalam konteks DBP ia tidak berlaku," katanya lagi.

Pada 16 Disember lalu, NSTP mengumumkan pengecilan operasi terhadap tiga penerbitannya - New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro - yang menyaksikan 543 pekerjanya akan diberhentikan pada Mac ini.

Berkenaan ITBM pula, sebelum ini wujud kemungkinan badan itu akan turut dikatakan akan mengambil langkah pengecilan operasi dengan membuang kira-kira separuh daripada 116 kakitangannya, tetapi ia telah ditangguhkan atas arahan Maszlee.