Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M gesa negara Islam kejar pembangunan teknologi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Negara-negara Islam perlu mula berusaha ke arah mencipta dan membangunkan teknologi sendiri supaya berada terkedepan dalam aspek kemajuan teknologi bersama dengan negara maju.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata negara Islam masih jauh ketinggalan dan bergantung kepada ciptaan serta teknologi dihasilkan negara bukan Islam.

Menurutnya negara Islam perlu menggandakan usaha untuk merapatkan jurang kemajuan teknologi dengan negara-negara lain.

“Jika kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi sendiri, maka selamanya kita akan berada di belakang negara maju.

“Kita tidak ada pilihan kecuali mula berusaha ke arah ini,” katanya semasa sesi meja bulat dan perbincangan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden Iran Dr Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam sesi itu.

Bercakap pada sesi yang bertajuk “Keutamaan Pembangunan dan Cabaran”, Dr Mahathir berkata beliau berharap sidang kemuncak dianjurkan kerajaan Malaysia dapat melahirkan strategi serta pendekatan yang jelas dalam menangani perkara itu.

Perdana menteri juga berkata negara Islam tidak ada pilihan selain bangkit dan berkembang maju secepat mungkin sekiranya mereka berhasrat untuk memulihkan segala bentuk malapetaka yang menimpa ummah.

Wujudkan kekayaan negara

“Kita telah bercakap dengan panjang lebar berhubung keadaan negara-negara Muslim.

"Walaupun kita mungkin tidak dapat mengasingkan sepenuhnya segala perkara yang menyebabkan keperitan dan kesengsaraan kita, kebanyakan kita bersetuju bahawa ia berpunca daripada ketidakupayaan kita mengejar perkembangan dan kemajuan orang bukan Islam yang telah meninggalkan kita dalam keadaan sukar dan terabai,” katanya.

Dalam merangka strategi pembangunan, beliau juga menekankan keperluan untuk menangani gangguan disebabkan oleh kemajuan teknologi, dan untuk memastikan bahawa ia sentiasa ditingkatkan supaya tidak menjadi usang apabila teknologi baru muncul.

“Kemajuan pesat kemajuan teknologi ini juga mengancam untuk menjadikan beberapa strategi dan rancangan yang kita lakar hari ini menjadi usang hanya dalam masa beberapa tahun saja.

“Hari ini kita menyaksikan hampir setiap hari, bagaimana teknologi canggih dan kemajuan ekonomi yang berusia hanya beberapa tahun lepas, menjadi tidak lagi relevan, di samping mengakibatkan beberapa segmen tenaga kerja kita juga menjadi tidak lagi relevan,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan delegasi mengenai agenda Malaysia mengajar kemajuan, yang menggariskan hala tuju strategi yang jelas bagi melangkah ke hadapan demi pembangunan negara.

Beliau menambah kerajaan baru-baru ini melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yakni kerangka kerja pembangunan negara yang menggariskan matlamat 10 tahun untuk mewujudkan kekayaan kepada negara, dan akhirnya memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Dan bagi menangani kepesatan revolusi industri 4.0, beliau berkata, Malaysia memperkenalkan dasar negara yang dinamakan Industri Masa Depan, yang memfokus kepada usaha mengubah sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan secara digital.

"Dasar ini berusaha meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik untuk pembuatan pintar, destinasi utama teknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh bagi sektor pembuatan di rantau ini," tambahnya.

- Bernama