Abdul-Munim Sombat contoh sifat rahmah Islam
Abdul-Munim Sombat Jitmoud, bapa yang memaafkan pembunuh anaknya di AS dua tahun lalu - dipilih sebagai Ikon Rahmah atas sikap belas kasihan beliau yang menjadi contoh kepada masyarakat dunia.
Anugerah yang julung kali diadakan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dalam satu majlis ringkas di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
“Saya mewakili rakyat Malaysia melihat, oleh kerana tindakannya yang begitu hebat sebagai manusia biasa telah mempromosikan kerahmatan Islam yang kebetulan menjadi dasar kepada kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Jelasnya, Islam menerapkan keadilan ditegakkan dengan memberi balasan setimpal kepada setiap kesalahan seseorang, namun apa yang lebih besar daripada keadilan adalah sifat rahmah yang bermaksud keampunan.
Menurut beliau, Abdul-Munim telah memberi contoh tersebut kepada dunia hari ini.
“Pada saat dunia melihat Islam dari perspektif yang negatif, melalui tindakan beliau memaafkan pembunuh anaknya, bagi saya, itu telah mencerminkan sifat Islam yang sebenar,” katanya.
Abdul-Munim - yang berasal dari Thailand dan memiliki kerakyatan AS - kini berada di Malaysia bagi memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah di beberapa institusi termasuk di Universiti Islam Antarabangsa.
Rahmah kepada semua
Abdul-Munim berkata banyak pihak sering bertanya bagaimana beliau mempunyai kekuatan untuk memaafkan perbuatan lelaki yang membunuh anaknya.
Kata beliau, dengan cara mengampunkan pembunuh anaknya, diharap lelaki itu berpeluang mengenali Islam.
“Saya juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia untuk menjadi contoh kepada dunia dengan terlebih dahulu menjadi Muslim yang baik dan mempunyai nilai kekeluargaan yang tinggi mengikut ajaran Islam serta bersifat rahmah kepada semua makhluk termasuk alam sekitar,” katanya.
Trey Alexander Relford berdepan hukuman mati selepas mengaku bersalah bersubahat dalam pembunuhan anak Abdul-Munim, Salahuddin Jitmoud.
Pemuda terbabit menjadi mangsa rompakan sebelum ditikam ketika menjalankan tugasnya sebagai penghantar piza di Lexington, Kentucky, pada malam 19 April 2015.
Bagaimanapun Abdul-Munim mengejutkan semua yang hadir di mahkamah - termasuk hakim yang tidak dapat menahan air mata - apabila beliau memaafkan Relford pada 7 Nov 2017.
Rakaman video saat yang menyentuh hati itu tular dan dilaporkan secara meluas oleh media di seluruh dunia.
Pada masa yang sama, Mujahid berkata untuk tahun hadapan pihaknya bercadang untuk melantik Abdul-Munim sebagai Duta Rahmah dalam membantu usaha kerajaan bagi mempromosi dasar Rahmatan Lil Alamin di seluruh negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai