Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berdosa ucap selamat hari Krismas' - Zakir kata tak ada akaun Twitter

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penceramah kontroversi Zakir Naik sekali lagi menjadi tumpuan apabila ciapan lama di Twitter dikaitkan dengannya.

Ciapan itu mengingatkan bahawa adalah berdosa bagi Muslim mengucapkan selamat Hari Krismas.

Zakir bagaimanapun menafikan mempunyai kaitan dengan hantaran media sosial itu.

"Saya tidak mempunyai akaun Twitter sama sekali," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang sedang berlangsung di ibu negara hari ini.

Zakir bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Zakir, yang menghadiri perhimpunan itu selama tiga hari bermula semalam, dilihat mendapat perhatian termasuk daripada wakil Muslim dari luar negara yang menyapa dan berswafoto dengannya.

Laporan media sebelum ini mengatakan bahawa dalam ciapannya, Zakir mengingatkan agar umat Islam untuk tidak memberi ucapan kepada orang Kristian kerana perayaan Krismas adalah merayakan kelahiran Jesus.

Hantaran pada akaun Twitter @DrZakirNaikFC berbunyi: "Mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada orang Kristian adalah kejahatan yang lebih buruk dari berzina atau pembunuhan.

"Umat Islam perlu elakkan. Ia adalah dosa besar. Ulang ciap dan sebarkan mesej ini.

"Saya harap tiada orang Muslim yang memberi ucapan atau mengemas kini sebarang status pada Krismas kerana merayakan Krismas adalah bertentangan dengan Islam, Allah, Nabi Muhammad [saw] jadi berwasapada dengan dosa besar itu," lapor Daily Post.

Bagaimanapun, klip video Youtube berjudul "Can Muslims Celebrate And Wish Merry Christmas - Dr Zakir Naik" yang pertama kali muncul pada Disember 2018, juga menyebarkan mesej yang sama.

Zakir Naik telah memperoleh status warganegara tetap di Malaysia pada April 2016.

Zakir dituduh oleh negara asalnya, India, terlibat dengan pengubahan wang dan aktiviti keganasan.

Putrajaya enggan mengusir pendakwah itu meskipun diminta India, kerana bimbang Zakir tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Semasa ceramah di Kelantan pada Ogos lalu, Zakir mendapat kritikan selepas beliau berkata bahawa orang Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi daripada Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga berkata bahawa orang Cina di Malaysia adalah tetamu. Beberapa laporan polis dibuat terhadap pendakwah berkenaan.

Susulan itu, beliau tidak lagi begitu menonjol.

Mengulas ciapan tentang Krismas yang diperkatakan, bekas menteri dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim mengulangi gesaannya agar Zakir dihantar pulang.

"Jika ini adalah apa yang diucapkan Zakir maka semua mufti di negara ini lebih baik kutip faedah pencen dan bersara.

"Selepas ini dia (Zakir) mungkin katakan perkara sama tentang Kong Xi Fa Cai & Diwali.

"Saya masih berpendirian dia harus dihantar kembali ke India. Bolehkah seseorang memeriksa KDN [Kementerian Dalam Negeri] bagaimana dia mendapat PR dan siapa yang memberikannya kepadanya?" katanya di Twitter.

[Baca berita penuh]