'Jika saya berdusta maka laknat Allah SWT ke atas diri saya'
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini melafazkan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan yang terkandung dalam perakuan berkanun (SD) Azilah Hadri yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Najib melafazkan sumpah laknat itu beberapa ketika selepas selesai mengerjakan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru.
"Wallahi, wabillahi, watallahi.
"Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.
"Malah saya tak pernah berjumpa dan tak mengenali mendiang sama sekali. Jika saya berdusta maka laknat Allah SWT ke atas diri saya.
"Dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat," lafaznya.
Turut hadir isteri Najib, Rosmah Mansor; anak mereka, Nooryana Najwa; Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta beberapa pemimpin kanan parti itu, termasuk Ahmad Maslan dan Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sejurus selepas itu, Najib melaungkan takbir tiga kali disambut hadirin yang hadir di masjid.
Sumpah laknat itu merupakan respons kepada kenyataan bersumpah (SD) Azilah, bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis pada 16 Disember lalu, yang didapati bersalah membunuh Altantuya.
Biarpun sudah menafikan dakwaan itu pada hari sama, Najib berkata akan melafazkan sumpah laknat hari ini.
Terdahulu anak bekas mufti Kedah, Ahmad Husam Baderudin berucap di depan kira-kira 500 jemaah masjid itu mengenai maksud dan rasional amalan sumpah laknat.
Dipercayai penceramah bebas itu datang ke masjid bersama dengan Najib - yang digelarkannya sebagai "Bossku" - berdasarkan hantaran yang dimuat naik sebentar tadi.
Acara yang sepatutnya berlangsung sejurus selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat selepas Jumaat itu pada mulanya terganggu apabila sebahagian jemaah yang mengelilingi Najib di saf hadapan.
Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang jemaah yang ada di belakang kerana penglihatan mereka terganggu.
Berlaku juga jerit-menjerit dalam kalangan orang ramai yang meminta jemaah berdiri di hadapan untuk duduk.
Lakukan cara Islam
Kejadian itu kemudiannya ditenteramkan individu yang sebelum ini mendakwa sebagai presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Zamil Ibrahim, yang bertindak sebagai pengerusi majlis.
Kemudian Husam mencelah dengan meminta jemaah agar tidak membuat bising dan mengingatkan bahawa “haram hukumnya bersorak di dalam masjid”.
Dia yang juga seorang usahawan minuman pracampuran koko kemudian memberi ucapan pendek untuk menjawab kenyataan sesetengah pihak yang menyelar acara sumpah laknat hari ini.
“[...] Disebut oleh ulama bahawa kemuncak kepada segala sumpah ialah mubahalah, (iaitu) sumpah laknat.
“Saya sendiri secara peribadi menerangkan kepada Datuk Seri Najib sebelum keputusan beliau diambil.
"Saya menceritakan definisi mubahalah itu apa dia, risikonya apa dia. Zaman nabi pernah berlaku mubahalah ini ketika nabi berhadapan satu kes dengan pendeta Kristian.
“[...] Jadi hari ini tuan-tuan, apa dilakukan oleh Datuk Seri Najib bertetapan dengan hukum. Beliau mengambil keputusan ini selepas beliau sendiri memahami apa itu mubahalah.
“Saya harap majlis kita hari ini kita lakukan dengan cara islam. Tidak ada unsur untuk mempersenda dan memperolok-olokkan sumpah ini,” katanya.
Najib yang mengenakan baju Melayu putih, berseluar hitam dan bersongkok - yang duduk di saf paling depan - kemudian bangun melafazkan sumpah laknatnya.
Terdahulu beliau sempat memberi komen ringkas berhubung dakwaan Azilah terhadapnya.
Dalam komennya, Najib berkata, biarpun dia sudah pernah melafazkan sumpah di Ijok pada pilihan raya kecil (PRK) Ijok pada 2007, dan di Guar Perahu, juga pada PRK Permatang Pauh 2008, tetapi sumpahnya kali ini adalah “kemuncak segala sumpah”.
“Saya tahu implikasi sumpah ini, saya tahu pengertiannya, tetapi kerana saya berdiri atas kebenaran, dan saya cuma takut kepada Allah SWT sahaja, maka dengan penuh rela hati, saya mengambil keputusan untuk melafazkan sumpah mubahalah,” katanya.
Acara itu turut dipantau kira-kira lima anggota keselamatan yang berdiri di hadapan saf.
Ketika ditemui pemberita selepas beliau selesai menjamu selera, Najib enggan memberikan sebarang komen lanjut, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada petugas media yang membuat liputan sumpah laknatnya itu.
“Ucapan saya tadi dah cukup. Terima kasih datang ramai-ramai,” katanya sebelum bergerak ke kereta dikerumuni orang ramai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai