Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis akikah menjadi tahlil - Adik mangsa kemalangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Majlis akikah yang sepatutnya berlangsung meriah esok akan bertukar menjadi majlis tahlil, kata ahli keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan di KM 427.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Bukit Beruntung dekat Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.

Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan lori tiga tan dengan muatan buah pada kira-kira 4.30 pagi itu, mengakibatkan pesara tentera Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta isterinya, Jamilah Jalim@Jamil, 47, dan anak perempuan mereka, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, maut di lokasi kejadian.

Turut meninggal dunia ialah kakak kepada Jamilah, Bashirah Jalim@Jamil, 49 dan anaknya Nur Shifa Abdul Rashid, 17.

Norliza Jalim@Jamil, 39, yang kehilangan dua kakaknya berkata, sebelum kejadian, Jamilah memaklumkan 15 ahli keluarga mereka berkonvoi menaiki tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Honda Jazz dan pacuan empat roda Isuzu D-max dari Yan, Kedah untuk ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

“Mereka bertolak kira-kira 10 malam Khamis dan dua kenderaan iaitu Honda Jazz dan Isuzu D-max yang turut dinaiki ibu saya, Fatimah Bakar tiba di Shah Alam pada 6 pagi.

“Selepas setengah jam menunggu, saya cuba hubungi abang ipar saya (Mohamad Rodzi) dan panggilan dijawab pegawai polis yang memaklumkan mereka terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, di Kuala Kubu Bharu.

Norliza berkata kedua-dua kakaknya itu sangat teruja untuk datang ke Shah Alam dan ingin membantu menguruskan majlis akikah anaknya yang akan diadakan esok.

“Kakak (Jamilah) sangat teruja untuk datang ke majlis akikah serta menawarkan diri untuk memasak jamuan kenduri, memang dia rancang untuk buat semuanya.

“Sedih sepatutnya mereka datang kenduri akikah anak saya tetapi sekarang, kami buat kenduri (tahlil) untuk mereka,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah, 69, berkata kali terakhir beliau melihat kesemua mangsa adalah ketika berhenti berehat di Kawasan Rehat dan Rawat Tapah.

“Saya tengok menantu (Mohamad Rodzi) sihat sahaja dan tidak mengantuk atau letih... saya masih terkejut dengan berita pemergian mereka. Allah pinjamkan mereka sekejap sahaja,” katanya.

Beliau berkata jenazah lima sekeluarga itu dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan, Kedah malam ini.

- Bernama