Skip to main
Logo Malaysiakini

India sekat internet, umum perintah berkurung susulan demonstrasi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kerajaan India menyekat perkhidmatan internet di beberapa kawasan susulan tiga orang maut dan ramai yang cedera dalam protes kerana membantah undang-undang baharu kewarganegaraan, lapor agensi berita Anadolu.

Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Mangaluru di selatan Karnataka, lokasi dua orang penunjuk perasaan terbunuh selepas polis melepaskan tembakan, menurut saluran televisyen tempatan pada Jumaat.

Seorang lagi maut di Lucknow, di utara Uttar Pradesh memetik doktor di Universiti Perubatan King George.

"Perintah berkurung akan berkuat kuasa sehingga tengah malam 22 Dis. Perkhidmatan internet disekat di Dakshina (selatan) Kannada hingga Sabtu malam," lapor akhbar The Hindu pada Jumaat .

Perkhidmatan internet turut disekat di Uttar Pradesh, Lucknow, Ghaziabad, Pilibhit, Sambhal, Bareilly dan Meerut.

Bagaimanapun pada Jumaat perkhidmatan itu kembali seperti biasa di beberapa tempat di timur laut Assam.

Ketua Polis G P Singh, memberi amaran supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika memuat naik status terkini di media sosial.

Undang-undang baru kewarganegaraan itu bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Lok Sabha dan Dewan Negara atau Rajya Sabha.

Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Sesetengah ahli politik India membandingkan CAB dan NRC dengan undang-undang rasis era Nazi Jerman serta undang-undang kewarganegaraan Israel.

Orang yang bukan Islam akan dilindungi di bawah undang-undang baru itu dan akan menjadi warganegara secara automatik, sedangkan 180 juta penduduk Islam di negara itu perlu membuktikan kewarganegaraan mereka.

- Bernama