Skip to main
Logo Malaysiakini

TAR UC tolak dana dari tabung amanah disokong k'jaan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dilaporkan menolak wang daripada tabung amanah yang ditubuhkan untuk menyalurkan dana kerajaan terhadap institusi itu.

Menurut Sinchew Daily, pemilik TAR UC, Yayasan Pendidikan TARC berkata ini berpunca daripada beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan mengenai dana yang akan disalurkan melalui Tabung Amanah Pendidikan yang diuruskan oleh Persatuan Alumni TAR UC (TAA).

Katanya lagi, sumber, perundangan, tujuan dan mekanisme perbelanjaan dana itu tida diketahui.

Yayasan Pendidikan TARC berkata tabung amanah itu didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan menggunakan alamat kampus utama TAR UC di Setapak, Kuala Lumpur.

"Dua entiti ini tidak berkaitan," katanya, petik laporan itu ketika menjelaskan kebimbangan bahawa penggunaan alamat itu boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Yayasan Pendidikan TARC dan kerajaan persekutuan sedang dalam kebuntuan mengenai bantuan kerajaan kepada TAR UC.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan bahawa MCA perlu melepaskan kawalan terhadap TAR UC sebelum kerajaan meneruskan pembiayaannya secara langsung melalui geran yang sesuai.

Sebagai penyelesaian sementara, kerajaan melantik Persatuan Alumni TAR UC (TAA) untuk menubuhkan tabung amanah supaya dapat menyalurkan sehingga RM40 juta setahun daripada kerajaan kepada TAR UC dan para pelajarnya.

TAA merupakan salah satu daripada beberapa persatuan alumni untuk bekas pelajar TAR UC.

MCA pula menuduh kerajaan menafikan kewajipan undang-undang untuk membiayai TAR UC dan bermain politik dalam isu pendidikan.

Ketika sidang akhbar pada hari Isnin, Lim mengumumkan RM40 juta yang dijanjikan telah dipindahkan ke tabung amanah yang diuruskan oleh TAA.

"Lembaga pemegang amanah Tabung Amanah Pendidikan TAA sebagai pengurus dana yang baru akan bekerja sama dengan pasukan pengurusan AR UC untuk memastikan geran pemerintah diurus dan diagih secara betl demi kesejahteraan TAR UC dan pelajar," kata Presiden TAA Yap Kuak Fong pada waktu itu.