Peserta sidang kemuncak serius pertimbang idea dinar emas
Idea menggunakan dinar emas sebagai mata wang diutarakan Dr Mahathir Mohamad seawal 2003 dan selepas sedekad, ia masih kekal sebagai cadangan yang belum terlaksana.
Namun di akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur hari ini, perdana menteri berkata, peserta persidangan itu sedang melihat kemungkinan menggunakan dinar emas sebagai mata wang secara serius.
"Perbincangan kami juga menyentuh berkenaan mata wang dan cara kita akan melakukan perdagangan.
"Saya mencadangkan agar kami melihat semula idea melakukan urusan perdagangan menggunakan dinar emas dan sistem barter dalam kalangan kami.
"Kita sedang melihat kepada kemungkinan ini secara serius dan berharap dapat mencari mekanisme bagi melaksanakannya," kata Mahathir dalam ucapan penutup persidangan berkenaan.
Sidang kemuncak itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dihadiri kira-kira 20 wakil kerajaan asing. Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan turut hadir dan memberikan ucapan pada hari pertama.
Bagaimanapun negara yang rapat dengan Arab Saudi tidak menghadirinya. Riyadh mendakwa sidang kemuncak itu cuba menjadi platform pilihan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dipimpin negara kaya dengan minyak tersebut.
Dr Mahathir bagaimanapun menafikan tuduhan Riyadh.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, turut berucap di akhir persidangan berkenaan.
Sebelum ini perdana menteri berkata, dengan menjadikan dolar AS sebagai mata wang, ada kecenderungan untuk negara tertentu sengaja merendahkan mata wang mereka untuk bersaing dalam perdagangan.
Keadaan itu, katanya, boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi global dan memusnahkan perkembangan ekonomi negara tertentu.
Justeru beliau mencadangkan agar dinar emas digunakan sebagai ganti dolar AS. Namun kata Dr Mahathir, penggunaan dinar emas perlu diterima hanya untuk perdagangan antarabangsa, bukan menggantikan mata wang domestik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai