Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan Zakir seorang saja buat kenyataan perkauman, kata PM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan sudah menasihati pendakwah dari India, Dr Zakir Naik, agar tidak lagi membuat kenyataan memprovokasi sentimen perkauman di negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Namun kata perdana menteri, masalahnya ialah selain Zakir - yang pernah menimbulkan kemarahan sesetengah pihak sebelum ini - ada orang lain lagi yang turut membuat banyak kenyataan perkauman.

"Berkenaan kehadiran Zakir Naik di sini, dia sudah diberitahu agar jangan memprovokasi sentimen perkauman.

"Dia memang ada di sini (persidangan) tetapi kita juga ada banyak kenyataan-kenyataan perkauman dibuat oleh ramai orang," katanya.

Bercakap kepada media di akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di ibu kota hari ini perdana menteri berkata, topik perkauman sangat sensitif di negara ini.

"Dan kita meminta orang agar tidak membuat komen mengenai hubungan kaum di Malausia kerana ini adalah isu sensitif dan kita tak mahu memprovokasi dan membuat rakyat saling bermusuhan di negara ini," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir diminta mengulas gesaan terbaru veteran DAP, Lim Kit Sing, agar kerajaan membatalkan status pemastautin tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir ekoran kemunculan ciapan pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu berkenaan sambutan Hari Natal.


Baca MIC sedih sikap PAS dalam isu Zakir Naik


Bagaimanapun ciapan itu dimuat naik di Twitter kira-kira dua tahun lalu.

Zakir kemudian memberitahu Malaysiakini, dia tidak memiliki akaun Twitter.

Mahathir bagaimanapun tidak menjawab sama ada kerajaan akan menarik balik status PR yang diberikan kerajaan kepada Zakir pada April 2006.

Zakir turut hadir pada sidang media berkenaan.