Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa sasar DAP dalam isu Sosma, soal MP Klang pada Haniff Khatri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan peguam Haniff Khatri Abdulla atas kenyataan beliau yang disifatkan mensasarkan DAP berhubung siasatan isu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Charles merujuk kenyataan Haniff sebelum ini yang menggesa pemimpin DAP untuk berhenti mengkritik siasatan polis ke atas isu LTTE kerana menurutnya ia akan dilihat sebagai campur tangan daripada kerajaan.

"Bukankah ada orang lain, selain rakan separti saya, mengulas mengenai Sosma atau penangkapan kerana didakwa terlibat dengan LTTE?

"Adakah ini satu lagi penyasaran terhadap DAP? Tidak cukupkah kami disasarkan sebelum ini?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Charles berkata PH telah berjanji untuk memansuhkan aspek kezaliman dalam Sosma.

"Sebagai seorang peguam, saya fikir bahawa Haniff menyedari bahawa Sosma merupakan kezaliman dan menahan sesiapa di bawah akta ini adalah pelanggaran hak asasi manusia.

"Dan Haniff seharusnya tahu bahawa menggesa pemimpin DAP untuk menutup mulut bermakna beliau melanggar kebebasan bersuara.

"Adakah anda tahu apa itu jenayah, Haniff? Tidak bercakap (tentang penahanan Sosma). Menegakkan perpaduan bersama tahanan dan keluarga mereka, mengutuk penyalahgunaan kuasa polis dan menuntut pemansuhan Sosma bukan (jenayah)," katanya.

Charles menegaskan bahawa penahanan 12 orang individu, termasuk Adun DAP G Saminathan (Gadek) dan P Gunasekaran (Adun Seremban Jaya), berhubung dengan LTTE, adalah "kekejian".

"Biar saya katakan ini untuk kali yang ke seratus - LTTE tidak aktif lagi.

"Rakyat Malaysia yang ditahan adalah yang bersimpati dengan orang Tamil yang mengalami keganasan yang tidak didedahkan dan pelanggaran berat hak asasi manusia di tangan tentera Sri Lanka.

"12 individu itu bukan pengganas tetapi diperlakukan seperti itu kerana beberapa pembuli yang memakai seragam biru percaya mereka mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak sesuka hati," katanya.

Haniff, yang bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata pemimpin DAP perlu mengambil kira apa yang dikatakan berhubung isu LTTE kerana mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan.

"Pemimpin DAP seperti, P Ramasamy dan Lim Kit Siang dan yang lain memberi komen bertanya kenapa Sosma digunakan bila Sosma sepatutnya dimansuhkan.

"Komen mereka memberi persepsi lain dalam kalangan rakyat, di mana mereka fikir kerajaan telah campur tangan dalam hal ehwal polis, terutamanya apabila DAP adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya.