Skip to main
Logo Malaysiakini

Gaji minimum: Dulu PH janji bulan bintang - Najib

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak pada siri hantaran di media sosial menempelak kerajaan PH kerana dikatakan gagal melaksanakan janji gaji minimum yang tinggi.

Memetik suatu laporan ketika era pentadbirannya, Najib berkata sebelum mengambil alih kuasa, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah menyebut tidak munasabah untuk hidup dengan gaji bulanan RM1,500.

"Perdana Menteri PH kata semua kedai tomyam akan bungkus jika gaji minimum dinaikkan ke RM1,800 sebulan.

"Senang nak buat keputusan jika begini. Gaji minimum penjawat awam patut dinaikkan ke RM1,600 atau RM1,700 sebulan. Settle," kata Najib yang juga MP Pekan.

Malaysia memperkenalkan dasar gaji minimum pada 2012 selepas Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 diluluskan parlimen. Perintah gaji minimum 2016 menetapkan kadar minimum mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selepas mengambil alih pentadbiran, PH meminda gaji minimum kepada RM1,100 sebulan. Dalam Janji ke-34 Buku Harapan, PH menyatakan komitmen untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam penggal pertama pentadbirannya, dan akan menyemak kadar itu setiap dua tahun.

Ketika mengumumkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,200 bermula Januari 2020 tetapi hanya terbatas kepada pekerja di bandar-bandar utama Malaysia.

Najib juga turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar bahawa kerajaan perlu melihat kesan jangka panjang sebelum mempertimbangkan gaji minimum RM1,800 kerana ia akan memberi kesan terhadap pelbagai aspek terutama membabitkan ekonomi negara.

Mahfuz pada 21 Disember lalu dipetik BH Online berkata tuntutan yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu adalah hak mereka, namun kerajaan perlu memperhalusinya dan menjalankan kajian terperinci.

"Inilah yang kita sedang lakukan iaitu dengan menaikkan gaji minimum secara berperingkat sehingga mencapai RM1,500 dalam tempoh lima tahun pemerintahan PH," kata Mahfuz.

Bagaimanapun, Najib pada hantarannya di Facebook malam tadi yang turut disertakan laporan BH Online itu membidas Mahfuz, berkata: "Dahulu mereka janjikan bulan dan bintang."

"Pekerjaan dengan gaji tinggi. Mereka kata ramai terima gaji kurang RM2,000 sebulan maka PH akan betulkan segera.

"Lain pula cerita sekarang. Gaji RM1,800 beri kesan kepada negara. Kita minta pula Mahfuz ni ambil gaji RM1,800, ok tak?" Soal bekas menteri kewangan itu.

Presiden baru Cuepacs Adnan Mat pada Khamis lalu menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,800 sesuai dengan peningkatan kos sara hidup.