Skip to main
Logo Malaysiakini

Bot lambat, kereta perisai usang - IGP mohon k'jaan tumpu logistik PDRM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendakwa bahawa pasukan polis terpinggir dari segi infrasktur dan kemudahan.

Kata Abdul Hamid, ibu pejabat polis di Bukit Aman sudah usang dan tidak mempunyai kemudahan dewan untuk mengadakan upacara, padang kawad atau bangunan tempat parkir berbanding pasukan keselamatan lain.

Malah katanya, polis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk beberapa urusan selain terpaksa menggunakan tempat letak kereta kosong sebagai padang kawad.

Oleh itu beliau berharap Belanjawan 2020 akan memberi tumpuan kepada memenuhi bekalan logistik yang secukupnya kepada pihak polis.

"Saudara saudari dapat saksikan, daifnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak mempunyai sebuah dewan, parkir mencukupi.

"Kami tak ada dataran untuk jalankan aktiviti kawad, sebaliknya kita terpaksa guna atau tumpang parking lot untuk lakukan aktiviti-aktiviti tersebut.

"Kalau dibandingkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), (ada) hospital, universiti, maktab-maktab cukup canggih, kami di PDRM rasa macam dianaktirikan dengan 'water cannon' kami berusia 25 tahun, kereta perisai kami 42 tahun, (tapi) kami diberi tanggungjawab mengawal sempadan.

Tambahnya, bot polis marin mempunyai kelajuan 10 knots sedangkan penyeludup menggunakan bot dengan kelajuan 30 knots.

"Saya minta tahun 2020, dengan belanjawan yang ada ini, tumpuan diberikan kepada bekalan logistik yang secukupnya kepada PDRM," katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan kuasa Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Tajudin Md Isa kepada Rosli Ab Rahman.

Abdul Hamid berkata Tajudin berjaya menyelesaikan beberapa aduan logistik sepanjang tempohnya dengan mendapatkan bekalan alat tulis, termasuk kertas, dakwat dan pencetak.

Sementara itu, beliau juga menggesa kerajaan supaya memperuntukkan dana bagi membina stesen komuter berhampiran Menara 2 Bukit Aman di sepanjang laluan keretapi Tanjung Malim dan Senawang.

Beliau berkata stesen baru itu akan memberi manfaat kepada 3,000 kakitangan polis, serta sekitarnya termasuk Jabatan Perangkaan dan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau berkata stesen komuter baru juga akan memberi manfaat kepada orang ramai yang datang ke Bukit Aman.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju dengan permintaan PDRM, manakala Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju secara prinsip juga bersetuju dengan cadangan pembinaan stesen komuter yang baru.

Abdul Hamid berharap Kementerian Kewangan dapat menyediakan peruntukan kecemasan untuk projek-projek ini.

"Saya mahu ia diluluskan, saya memohon kerajaan untuk meluluskannya," katanya