Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib sedia disiasat kes pembunuhan Altantuya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menyatakan kesediaan berdepan siasatan polis berhubung tuduhan terhadapnya berhubung pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Memang tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat jika laporan polis diterima.

"Saya sendiri pernah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis terhadap saya tahun lepas tentang kes Altantuya ini.

"Walaupun polis berkata mereka mereka sedang menunggu arahan Pejabat Peguam Negara, saya masih mengalu-alukan siasatan ini dan berharap siasatan akan dijadikan secara telus dan adil tanpa sebarang kepentingan politik," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, polis mungkin memanggil Najib untuk menyoal pembunuhan itu.

Minggu lepas, bekas anggota polis unit tindakan khas (UTK), Azilah Hadri, yang telah disabitkan dengan pembunuhan Altantuya, mendakwa dia bertindak atas arahan Najib.

Azilah yang merupakan pengawal peribadi Najib ketika pembunuhan Altantuya, membuat dakwaan itu dalam akuan berkanun (SD) baru-baru ini.

Altantuya dibunuh pada bulan Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Azilah dan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dihukum mati pada April 2009.

Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan mereka pada Ogos 2013 tetapi keputusan bersalah telah dikembalikan semula oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015.

Bagaimanapun, sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan, Sirul telah melarikan diri ke Australia dan kini berada di pusat tahanan imigresen di sana.

Dia tidak boleh dihantar pulang kerana Australia menolak hukuman mati.

Azilah membuat SD itu sebagai pemfailan dalam rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk keputusan mahkamah yang mendapati dia bersalah atas pembunuhan.

Najib, dalam kenyataannya hari ini, turut menggesa polis untuk menyiasat dua laporan polis lain yang berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd.

Najib sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah atas dakwaan penyelewengan dana syarikat milik kerajaan.