Skip to main
Logo Malaysiakini

Johari nafi tandatangan dokumen pada mesyuarat dengan EHP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani mengulangi pendiriannya bahawa bahawa beliau tidak terlibat dalam meluluskan pelaburan Felda di syarikat Indonesia, Eagle Eagle Plantation (EHP).

"Saya tidak menandatangani sebarang perjanjian, sebarang dokumen jaminan," katanya kepada Malaysiakini.

"Pelaburan di EHP telah diluluskan oleh Felda dan Pejabat Perdana Menteri. Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam meluluskan pelaburan itu," tambahnya.

Johari juga berkata pasukan Kementerian Kewangan (MOF) hanya diminta untuk memastikan bahawa prosedur dan proses memberi jaminan kerajaan kepada pelaburan itu mematuhi peraturan yang diperlukan.

"Di samping itu, pasukan MOF juga memastikan bahawa terdapat jaminan pulangan minimum pelaburan jika ia tidak mencapai pulangan yang disasarkan.

"Ringkasnya, keputusan keseluruhan Felda untuk melabur dalam EHP bukan keputusan MOF," katany.

Audit ke atas perjanjian Felda dengan EHP sebelum ini mencatat pertemuan antara Johari dan Rajawali Group pada 14 Disember 2016.

Malaysiakini melihat petikan laporan audit yang antara lain menyentuh tentang surat bertarikh 15 Dis 2016, dari Kementerian Kewangan kepada anak syarikat Felda FIC Properties Sdn Bhd (FPSB).

Antara lain, surat itu menyatakan: "Untuk maklumat YBhg Datuk, satu pertemuan antara YB Menteri Kewangan dan seorang wakil dari Rajawali Group telah diadakan pada 14 Disember 2016 [...]."

"Semasa sesi pertemuan tersebut, YB Menteri Kewangan II telah bersetuju supaya FICP (FPSB) membuat partial closing transaksi pelaburan di EHP melalui bayaran sebanyak AS$260 juta [...]

"Tujuan cadangan transaksi partial closing adalah supaya FICP boleh menjanjikan pegangan 37 peratus dalam EHP kepada Govco Holdings Berhad sebagai sebahagian daripada syarat pembiayaan [...]

"Selain itu, ia juga memenuhi keperluan Bank Negara Malaysia bagi pembayaran urus niaga yang dibuat secara berperingkat seperti yang dimaklumkan dalam surat Ybg Datuk 51 / FICP / GL / 2016 bertarikh 9 Dis 2016," kata surat itu.

EHP dimiliki oleh pemilik Yayasan Rajawali, Peter Sondakh. Hartawan Indonesia itu dikatakan sebagai sahabat bekas perdana menteri Najib Razak.

Penemuan audit itu dilihat bertentangan dengan kenyataan Johari semalam bahawa dia tidak terlibat dengan transaksi itu, yang pada laporan polis Felda pada April tahun ini, mendakwa ia membayar lebih 37 peratus kepentingan dalam EHP.

Pengurus Besar Felda, Othman Omar mendakwa harga itu sengaja dinaikkan hampir 450 peratus kepada RM2.3 bilion sedangkan ia hanya bernilai RM440 juta pada masa pembelian.