Ramkarpal pada Thomas: Selesaikan apa yang gagal dibuat AG terdahulu
Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali telah gagal menjelaskan misteri sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu ketika mereka memegang jawatan peguam negara (AG), menurut anggota parlimen DAP Ramkarpal Singh.
Kini, katanya, bergantung kepada Tommy Thomas - yang menggantikan mereka sebagai peguam negara - untuk menyelesaikan perkara itu.
"Sesuai untuk dinyatakan bahawa persoalan berkenaan siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya tidak pernah diselesaikan semasa dua AG sebelum ini.
"Tambahan pula, motif pembunuhan itu tidak pernah didedahkan sepanjang perbicaraan yang berakhir di Mahkamah Persekutuan pada 2015.
"Ia pasti akan menjadi salah satu pencapaian terhebat, kalau pun bukan yang terhebat, bagi Thomas jika perkara itu dicapai ketika dia menjadi AG," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal merupakan peguam kepada bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, dalam samannya terhadap dua bekas pegawai polis yang disabit bersalah membunuh warga Mongolia itu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar; Abdul Razak Baginda; dan kerajaan Malaysia.
Razak yang merupakan individu yang rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu tetapi dibebaskan.
Ramkarpal juga mengalu-alukan kenyataan Thomas bahawa dia sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengarahkan siasatan baru dibuka terhadap pembunuhan yang berlaku 13 tahun lalu itu.
Ia susulan dakwaan mengejutkan oleh Azilah menerusi perakuan bersumpah (SD) yang antara lain mendakwa Najib yang memberi arahan langsung untuk membunuh Altantuya.
Azilah turut mendakwa Najib dan Razak meyakinkannya bahawa Altantuya adalah seorang perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
Dia kini dalam proses memohon agar mahkamah menyemak semula keputusan yang mensabitkannya. SD tersebut, bersama-sama satu afidavit, merupakan dokumen sokongan dalam permohonannya.
Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai "semata-mata rekaan" dan mengulang kembali bahawa dia tidak pernah kenal atau bertemu Altantuya.
Dalam pada itu, Ramkarpal menggesa Thomas agar memastikan Najib dipanggil untuk soal siasat apabila kes itu dibuka semula.
Dia mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bahawa Najib mungkin dipanggil untuk membantu siasatan.
"Pelik apabila Najib hanya mungkin dipanggil untuk membantu siasatan, terutama kerana dia dinamakan oleh salah seorang yang didapati bersalah membunuh sebagai memberi arahan untuk melakukannya.
"Maka Najib perlu dipanggil untuk memberi keterangan... Saya tidak dapat melihat bagaimana kebenaran atau kepalsuan dakwaan Azilah dalam SD tersebut dapat disahkan tanpa memanggil Najib.
"Memandangkan polis akhirnya akan menghantar hasil siasatan kepada AG, saya gesa AG untuk memastikan keterangan Najib diambil dengan mengarahkannya, jika IGP gagal berbuat demikian," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai