Skip to main
Logo Malaysiakini

Gamis: 'Bersama DZ, ulangi 13 Mei' cuma tajuk tarik perhatian

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis) mengakui bahawa akaun Twitternya telah menggunakan tajuk provokatif terhadap Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tetapi sejak itu sudah mengubah judulnya selepas menerima maklum balas daripada beberapa pihak.

Timbalan presiden Gamis Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee berkata niat mereka pada awalnya cuma menarik perhatian orang ramai membaca kenyataan itu dalam rangkaian hantaran ciapannya di Twitter dan bukannya untuk menumpukan kepada tajuk utama.

"Asalnya tajuk tersebut kita letak untuk tarik perhatian sebab kalau kita fokus pada isi kandungan kenyataan lebih pada fakta untuk hapuskan Dong Zong, kita tak sebutpun dalam kandungan untuk ulangi (13 Mei), kita tak ada niat... kita letak pada tajuk saja.

"Bila kita lihat terlalu ramai beri respon negatif pada tajuk saja, bukan pada isi, kitapun damage control (kawal kerosakan) lah... terpaksa ubah untuk elak situasi yang lebih tegang.

"Sebab fokus pada haramkan Dong Zong, bukan pada tajuk tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 24 Disember lalu, Gamis mengeluarkan kenyataan melalui akaun Twitternya mengkritik Dong Zong atas rancangannya untuk meneruskan pertemuan membantah Jawi pada Sabtu ini.

Tajuk asalnya adalah:"Ayuh Bersama Dong Zong, Ulangi Peristiwa 13 mei 1969."

Judul itu disertakan bersama gambar Presiden Gamis Saifullah Baiduri mengacukan tangannya.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Gamis mengubah gambar itu dengan tajuk baru berbunyi: "Dong Zong, Jangan Ulangi Peristiwa 13 Mei 1969."

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberikan maklum balas terhadap hal ini dengan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kenyataan sebegitu.

Dong Zong menjelaskan kongres pada 28 Disember ini bukan suatu himpunan bantahan tetapi suatu majlis tertutup bagi membincangkan pelaksanaan pelajaran Jawi di sekolah vernkular.

Anggota Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong menegaskan pihaknya tidak merancang sebarang himpunan dan pertemuan itu cuma terbuka kepada wakil NGO Cina dan bukannya kepada orang awam.

"Ini adalah pertemuan yang akan membincangkan mengenai topik pendidikan dan isu tulisan Jawi. Pertemuan (dipanggil) untuk menyatakan pendirian (NGO Cina), bukanlah perhimpunan kaum," katanya kepada Malaysiakini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membangkitkan kebimbangan acara itu mungkin akan menimbulkan tindak balas masyarakat Melayu dan boleh menyebabkan kekacauan.

Dr Mahathir berkata kumpulan Melayu akan bertindak balas dengan "cara yang sangat Melayu" sekiranya kongres itu diteruskan.

"(Jika) mereka mahu melakukan sesuatu yang sangat Cina, respons orang Melayu akan sangat Melayu, (termasuk) meminta sekolah-sekolah Cina ditutup.

"Jika anda melakukan perkara seperti itu (Kongres Organisasi Cina) dan anda akan mendapat reaksi," katanya.

[Baca berita asal]