Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjual lembu dituduh tipu RM100 berdepan penjara maksimum 10 tahun

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hanya kerana RM100, sebagai wang pembayaran penghantaran lembu, seorang penjual lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuantan, atas tuduhan menipu dan berhadapan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh Muhamed Ghazali Muhamed Razak, 43, yang berasal dari Kampung Bukit Sekilau di Kuantan, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Dia yang bertubuh kurus tinggi didakwa melakukan kesalahan itu terhadap warga asing, Hiro Nir Ahmad pada 4 petang, 26 Nov lalu di sebuah stesen minyak di Sungai Soi di Kuantan.

Mengikut pertuduhan, Muhamed Ghazali didakwa menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM100 kepadanya, yang dikatakan sebagai kos penghantaran ternakan itu dan kegagalan tertuduh berbuat demikian menyebabkan mangsa membuat laporan polis pada 10 Dis lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM8,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas faktor kewangan anak guamnya dan Nordiana kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jan ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid.

- Bernama