Exco: Setahun didik larangan merokok dah memadai
Tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di premis makanan selama setahun yang bermula sejak awal tahun ini, dilihat sudah memadai bagi mendidik masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, tiada keperluan untuk ia dipanjangkan lagi dan untuk itu, perokok dan pengusaha atau pemilik premis makanan di negeri ini, diminta mengikuti peraturan yang ditetapkan bagi kepentingan umum.
“Kita akan kuatkuasakan peraturan dan kita telah beri peluang yang begitu banyak, satu tahun kita telah berikan dan ia satu tempoh yang panjang, sebagai penguatkuasaan pendidikan dan kita hanya keluarkan amaran dan tegur sahaja, supaya tidak merokok di tempat larangan.
“Jadi, (bermula) 1 Jan depan, kita akan pastikan larangan merokok ini dikuatkuasakan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mempunyai anggota yang mencukupi, untuk membuat penguatkuasaan dan akan ambil tindakan kepada pihak yang ingkar dengan peraturan ini,” katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi tumpahan minyak dipercayai bahan kimia di dalam anak sungai Belihoi, Mantin, dekat Seremban semalam.
Bermula 1 Jan 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok, akan dikeluarkan.
Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, sekiranya sabit kesalahan.
Dalam pada itu, selain tempat yang diwartakan sebagai zon larangan merokok, kerajaan negeri juga katanya bersedia mengkaji untuk diperluaskan ke kawasan yang lain, sekiranya terdapat keperluan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai