Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasib MTUC diketahui bulan depan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Selangor dijangka menyiapkan siasatan terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenai aduan salah pengurusan dalam kesatuan pada awal Januari ini.

Ia dimaklumkan oleh Presiden MTUC Abdul Halim Mansor, yang bertemu dengan Pengarah ROS Selangor Nurul Azhar Husin hari ini, bagi memberi penjelasan berkenaan sebab pendaftaran MTUC tidak perlu dibatalkan.

Dalam sidang media di ibu pejabat MTUC selepas pertemuan itu, Halim berkata kongres itu telah menggesa ROS untuk mempercepatkan siasatannya.

"(ROS) berkata pihaknya akan melakukan yang terbaik (untuk menyelesaikan siasatan) dalam tempoh satu atau dua minggu.

"Pada peringkat ini, MTUC masih digantung buat sementara waktu," katanya.

Buat masa ini, beliau berkata MTUC tidak boleh mengadakan mesyuarat majlis am tetapi dibenarkan menjalankan kerja kebajikan untuk kakitangannya dan terus mewakili pekerja di mahkamah dan agensi kerajaan.

Walaupun begitu, Halim MTUC pada ketika ini ini tidak dapat menjalankan kerja kebajikan yang melibatkan pengeluaran wang kerana setiausaha kewangannya telah meletakkan jawatan pada 9 Nov.

Abdul Halim Mansor

Katanya lagi, MTUC tiada orang kedua yang memiliki kuasa untuk menandatangani cek seperti yang disyaratkan dalam perlembagaan kesatuan.

Halim berkata, satu-satunya jalan penyelesaian untuk MTUC adalah dengan memilih setiausaha kewangan baru dalam mesyuarat majlis am yang akan datang, yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 29 Disember, tetapi kini telah dibatalkan.

Jika ROS dapat membuat keputusan pada awal Januari, katanya lagi, MTUC perlu memberikan notis 12 minggu kepada ahlinya untuk menghadiri mesyuarat majlis am.

Katanya, paling awal mesyuarat majlis am boleh diadakan pada Mac atau April.

Pada tahap ini, beliau berkata bimbang MTUC mungkin tidak boleh memberikan bayaran pampasan kepada 23 pekerja seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

"Tandatangan setiausaha kewangan adalah penting, tanpanya, kita tidak boleh mengeluarkan cek, atau melangsaikan bil air dan elektrik," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, ROS berkata pihaknya menerima aduan mengenai salah pengurusan dalam MTUC pada 2 Julai lalu.

Sehubungan itu ROS membuka kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Minggu lalu Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo (gambar, bawah) mendakwa organisasi itu tidak mengadakan mesyuarat am sejak pemilihan pada 2016.

Sumber lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa kepemimpinan MTUC sebenarnya telah menerima surat tunjuk sebab daripada ROS kira-kira dua bulan lalu ekoran gagal mengadakan mesyuarat.