Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan pensyarah kecewa polis panggil siswa isu demo di UM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) kecewa dan terkejut apabila pihak polis memanggil Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Mohd Akmal Haziq berhubung isu penyerahan memorandum yang membangkitkan isu kebajikan pelajar.

Kumpulan pensyarah itu memaklumkan polis memanggil Mohd Akmal untuk hadir ke Balai Polis Pantai di Kuala Lumpur pada 25 Disember.

"Akmal dipanggil untuk ditanyakan tentang demonstrasi yang diketuainya di dalam kampus UM beberapa minggu lalu pada 13 Disember.

"Demonstrasi aman yang diadakan di depan bangunan Canseleri UM, menuntut kebajikan dan perkhidmatan pelajar yang lebih baik daripada universiti, seperti penambahbaikan pengangkutan mahasiswa, keselamatan kampus, perkhidmatan 'shuttle' yang lebih kerap dan pentadbiran yang mesra pelajar," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh exco Gerak hari ini.

"Memorandum mengandungi 13 perkara telah diserahkan mahasiswa. Ia mengenai kebimbangan sebenar mahasiswa dan sudah tentu tidak mengandungi sebarang perkara bercanggah yang membolehkannya dipanggil polis," kata kumpulan akademik itu lagi.

Gerak berkata tindakan pihak polis memanggil presiden PMUM itu bukan sahaja mengejutkan tetapi merupakan suatu bentuk gangguan dan intimidasi yang berlebihan.

"Adakah polis bertindak berdasarkan laporan dan aduan? Jika ya, oleh siapa?

"Sekiranya oleh pihak berkuasa universiti, mereka sepatutnya bersama-sama dengan para pelajar untuk membincangkan kebimbangan pelajar dan bukannya bertindak seperti pembuli terhadap pelajar?" soal Gerak.

Kumpulan itu juga menyebut gesaan berulang kali oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam memastikan ruang kebebasan yang lebih besar di kampus.

Gerak mendakwa episod baru ini menunjukkan keengganan pihak berkuasa untuk melayan pemegang kepentingan utama iaitu, mahasiswa dengan rasa hormat dan serius.

"Kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih di atas platform reformasi masih jauh untuk merealisasikan harapan rakyat melihat pembaharuan universiti.

"Malah, kelihatan terdapat keengganan untuk berkompromi di kalangan ramai naib canselor ke arah melaksanakan dasar-dasar dan strategi reformasi kerajaan ini," katanya.

Gerak juga berkata Maszlee perlu memberi penekanan kepada semua naib canselor universiti mengenai keperluan membawa agenda pembaharuan kerajaan serta lebih terbuka kepada cadangan dan kritikan oleh pihak yang terlibat.

"Kegagalan berbuat demikian, maka adalah lebih baik untuk mereka meletak jawatan bagi memberi laluan kepada orang lain yang sanggup melakukannya," kata kumpulan itu lagi.

[Baca berita asal]