Skip to main
Logo Malaysiakini

Satu lagi kongres Jawi diteruskan seperti dirancang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembatalan kongres Dong Jiao Zong berkenaan tulisan Jawi tidak menyekat satu lagi kongres berkenaan perkara itu daripada berlangsung seperti biasa.

Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Arun Doraisamy berkata pihak polis juga telah maklum dengan program itu yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 29 November ini.

Arun berkata pihaknya juga telah menjemput Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk hadir ke program itu yang dinamakan Kongres Jawi Kebangsaan bagi menyampaikan ucapan penutup.

“Kami harapkan lebih dari seribu orang dari pelbagai kaum akan menghadiri kongres ini.

“Saya menggesa Dr Maszlee untuk mengambil peluang ini dengan hadir demi perpaduan untuk menyelesaikan isu ini dan mendengar suara rakyat.

“Kami telah menyediakan tempat untuknya...Terpulang kepadanya sama ada beliau ingin menghormati rakyat dan menyampaikan keprihatinannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arun Doraisamy

Ketika sidang media pengumuman kongres itu, Arun dilaporkan berkata pihaknya mahu mendesak Kementerian Pendidikan membincangkan semula keputusan melaksanakan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran Jawi itu - yang diterapkan dalam tiga muka surat buku teks Bahasa Melayu tahun 4 sekolah vernakular - tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Hari ini Arun turut mengongsikan surat daripada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zain Che Din bertarikh hari ini yang mengambil maklum berkenaan kongres tersebut.

Kongres Dong Jiao Zong dibatalkan setelah polis mendapatkan perintah mahkamah agar ia tidak diteruskan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menggesa semua pihak menghormati perintah mahkamah itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggarnya.