Skip to main
Logo Malaysiakini

Institut Pendidikan Guru Kampus KB akan kerjasama dengan Selatan Thai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) akan bekerjasama dengan kerajaan wilayah Selatan Thailand sebagai satu usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan di wilayah itu.

Timbalan Pengarah IPGKKB Dr Narita Mohd Noor berkata, kerjasama ini bagi membantu pihak mereka mengatasi kekurangan guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang terlatih di Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Songkhla.

“Mereka kekurangan guru yang terlatih terutamanya dalam bahasa Melayu dan juga Inggeris, malah di sana juga tidak disediakan sijil perguruan profesional dan latihan perguruan yang mencukupi dalam sektor pendidikan.

“Bagi peringkat permulaan ini, kita memulakan kursus penerapan guru dengan penglibatan guru-guru swasta di Thailand, dan pada masa akan datang kita berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan pihak pendidikan kerajaan di sana dalam tempoh terdekat. Malah perkara ini juga telah mendapat sokongan Menteri Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas hadir di Program Penutupan Kursus Penerapan Keterampilan Guru Swasta Narathiwat di IPGKKB di ibu negeri Cik Siti Wan Kembang hari ini yang dirasmikan Pengerusi Biro Pendidikan PH Kelantan Kamaruddin Mohd Nor.

Terdahulu kursus yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri seramai 50 orang peserta terdiri daripada guru swasta wilayah Narathiwat dan juga Pattani.

Beliau berkata, antara pengisian yang disediakan oleh IPGKKB bagi kursus penerapan ini termasuk pedagogi bahasa Melayu serta strategi pengajaran berkesan.

Sementara itu, Kamaruddin berkata pihaknya menyambut baik usaha yang dilaksanakan ini dan akan sentiasa memberi sokongan kepada IPGKKB.

“Kerjasama ini dilihat sekaligus dapat menjadikan IPGKKB sebagai pusat pendidikan bahasa Melayu serantau di mana pada peringkat permulaan kursus penerapan ini melibatkan wilayah selatan Thailand, dan tidak mustahil ianya akan berkembang ke negara lain.

“Saya berharap dengan wujudnya kerjasama ini ia dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan bahasa Melayu bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

- Bernama