Skip to main
Logo Malaysiakini

2 warga Malaysia maut dalam kemalangan di Mesir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Dua warga Malaysia antara enam yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Mesir semalam, menurut laporan agensi AFP.

Kemalangan itu berlaku apabila dua buah bas yang membawa pelancong bertembung dengan sebuah trak di timur Kaherah, ketika dalam perjalan ke sebuah resort di Ain Sokhna di Laut Merah, menurut pegawai keselamatan.

Sumber berkata, mereka yang terkorban termasuk dua pelancong perempuan dari Malaysia, seorang lelaki India, dan tiga warga tempatan - pemandu bas, pemandu pelancong dan pengawal keselamatan.

Menurut laporan itu lagi, sekurang-kurangnya 24 cedera.

Satu lagi kemalangan berlaku pada hari sama, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 pekerja kilang pakaian, dengan lapan lagi tercedera.

Ia berlaku apabila bas yang mengangkut mereka bertembung dengan sebuah kereta.

Akhbar milik kerajaan, Al-Ahram melaporkan kemalangan itu berlaku di jalan raya antara Port Said dan Damietta di utara Mesir.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Kementerian Luar Malaysia tidak menyebut tentang kemalangan maut itu, tetapi mengesahkan lima warga Malaysia terlibat dalam kemalangan pada pukul 11 pagi waktu tempatan.

Kementerian berkata, kejadian itu ketika lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari Hurghada ke Kaherah.

"Mereka dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Suez Canal Hospital serta Children Hospital di Kaherah.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kaherar sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada para mangsa dan akan terus memantau perkembangan mereka," kata kenyataan itu.