Skip to main
Logo Malaysiakini

WKB 2030 antara inisiatif paling menonjol PH

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tahun ini menyaksikan kerajaan PH memperkenalkan pelbagai inisiatif dan perancangan yang difokuskan kepada kesejahteraan serta sosioekonomi rakyat.

Paling menjadi tumpuan adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 5 Okt lepas yang berperanan sebagai naratif baru pembangunan untuk menstruktur ekonomi agar semua rakyat menikmati taraf hidup yang wajar menjelang 2030.

Fokus WKB 2030 ialah untuk mewujudkan ekonomi yang boleh mencapai pertumbuhan seimbang dan mampan, selain pengagihan kekayaan yang adil serta sama rata dalam semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah geografi dan rantaian bekalan.

Ia menggariskan tujuh teras strategik iaitu penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara; mengenal pasti dan mempelopori sektor pertumbuhan baru serta bidang keberhasilan utama baru melalui pelaburan strategik; reformasi bakat dan sumber tenaga negara; memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja; memperkukuhkan kesejahteraan sosial; pembangunan wilayah yang inklusif; dan peningkatan modal sosial masyarakat.

Melalui tujuh keutamaan itu, WKB 2030 menjadi penggerak strategik kerajaan dalam merealisasikan matlamat membawa negara ini menjadi lebih kompetitif dan maju, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat dengan menyediakan taraf hidup lebih makmur bagi setiap lapisan masyarakat.

Selain itu, Putrajaya akan mengambil kira pandangan kerajaan negeri dalam usaha merapatkan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Selain WKB 2030, terdapat beberapa lagi inisiatif atau dasar baru diperkenalkan PH melalui pelbagai kementerian dengan menjadikan ia sebagai tunjang utama semasa merangka dasar.

Antaranya ialah Dasar Pengangkutan Negara, Dasar Kebersihan Negara, Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Dasar Komuniti Negara dan Dasar Keusahawanan Nasional.

Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 akan memastikan Malaysia kekal menjadi lokasi mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan.

Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan 3 Nov pula adalah sebagai garis panduan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bersih dalam usaha mencapai taraf negara maju dengan memberi tumpuan kepada kebersihan, kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

Dasar itu memfokuskan lima kluster, iaitu kesedaran mengenai kebersihan; kelestarian alam sekitar; ekonomi kitaran; tadbir urus dan penguatkuasaan serta modal insan yang berkualiti dan berkemahiran.

Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara yang dilancarkan pada 27 Feb lepas pula bertujuan melindungi hak asasi pekerja untuk mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif.

Matlamat dasar berkenaan ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja Malaysia di samping meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Sementara itu, bagi mewujudkan komuniti yang mempunyai anggota masyarakat berdaya saing dan memiliki satu perasaan kebersamaan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Komuniti Negara.

Ia adalah satu inisiatif untuk memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan cara holistik serta sebagai pelengkap kepada dasar-dasar pembangunan fizikal yang ada sebelum ini.

Dasar Keusahawanan Nasional pula bertujuan meletakkan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan tulen menjelang 2030.

Objektif Dasar Keusahawanan Nasional itu antara lain mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan.

Ia juga bertujuan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan serta mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan serta industri kecil dan sederhana.

- Bernama