Gerak: Ada pihak guna modul Hubungan Etnik untuk indoktrinasi
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mendakwa modul Hubungan Etnik di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) digunakan untuk proses indoktrinasi berbanding tujuan asalnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Gerak berkata modul Hubungan Etnik di universiti awam Malaysia mempunyai sejarah kontroversi tersendiri apabila ia mula diperkenalkan oleh kerajaan BN pada 2005.
Setelah dikritik sebagai berat sebelah - baik dari aspek politik atau etnik - modul itu kemudian dikeluarkan dan diganti dengan versi yang ditambah baik pada 2012.
Ia dirangka oleh Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pasukannya.
Kata Gerak, Shamsul Amri menyifatkan modul yang ditambah baik itu sebagai “dokumen hidup” yang perlu dikemas kini dari masa ke masa, memandangkan hubungan etnik merupakan satu usaha yang masih dalam berterusan.
“Semuanya baik-baik sahaja, sehingga ada sesetengah pensyarah mengambil keputusan untuk menggunakan modul itu sebagai alat indoktrinasi, berbanding satu kursus untuk memupuk pemahaman dan kebebasan fikiran golongan muda.
“Dalam konteks ini, Gerak amat bimbang dengan pendedahan terbaru bahawa mungkin berlakunya ketidakwajaran dalam (pengajaran) modul ini oleh Unimap,” katanya.
Dalam isu baru-baru ini, satu soalan peperiksaan modul itu menyifatkan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, sebagai ikon dunia Islam yang menyebarkan Islam sebenar.
Pernah ditambah baik
Soalan itu juga bertanyakan pandangan pelajar tentang kenapa Zakir tidak lagi dibenarkan menyampaikan dakwah di Malaysia.
“Dan, meskipun bertanya pandangan responden, pemeriksa (pembuat soalan peperiksaan) menyediakan empat pilihan jawapan yang sempit untuk dipilih.
“Semua pilihan (jawapan) itu, bersama-sama dengan cara soalan itu ditulis dan dirangka, secara jelas menunjukkan pandangan berat sebelah yang ekstrem dan subjektif si pemeriksa,” katanya.
Gerak berkata modul Hubungan Etnik - yang merupakan subjek wajib untuk semua pelajar sarjana muda - haruslah ditangani dengan baik dan sensitif, selari dengan objektif modul itu yang ditambah baik pada 2012, dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
“Sememangnya kini semakin banyak soalan tidak wajar daripada kertas itu ditemukan dan tersebar; soalan yang nampaknya bersifat menghina, bertentangan dengan semangat dan tujuan keseluruhan modul tersebut.
“Kita tahu setiap universiti awam atau swasta di Malaysia, mesti terlebih dahulu menyemak kertas peperiksaannya, sekurang-kurangnya di peringkat jabatan dan fakulti.
“Di mana sistem penyemakan dalam kes ini? Adakah ini kes terpencil atau universiti awam yang lain juga turut mengendalikan modul ini dalam cara yang tidak wajar dan tidak produktif sebegini?
“Gerak percaya di saat hubungan etnik di Malaysia memerlukan ransangan hebat, tindakan seperti yang berlaku di Unimap - sama ada disegajakan atau tidak - perlulah dikecam dan diselesaikan dengan segera, (dan dipastikan) tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Unimap memulakan penyiasatan terhadap perkara itu sementara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan perkara itu kepada pihak universiti bagi menghormati autonomi universiti.
Terdahulu Unimap dibidas MIC ekoran soalan 60 dalam kertas peperiksaan dwibahasa itu (bahasa Melayu dan Inggeris) yang menyentuh tentang Zakir.
Etnik berkulit hitam
Soalan itu berbunyi: Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini berlaku?
Soalan itu menyediakan pilihan jawapan yang membolehkan pelajar untuk memilih lebih daripada satu daripadanya.
Pilihan jawapannya ialah:
(1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu;
(2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa;
(3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa;
(4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.
Soalan 12 dalam kertas sama pula berbunyi: Etnik ini berkulit hitam dan mereka juga terdapat di kawasan Asia seperti Malaysia dan Indonesia. Kaum apakah ini?
Pilihan jawapannya ialah:
(A) Negroid
(B) Red Indian
(C) Indian
(D) Bushman
Zakir dilarang daripada menyampaikan ceramah selepas membuat komen kontroversi semasa berceramah di Kelantan pada Ogos.
Dalam ceramah itu, dia mendakwa orang India di Malaysia dilayan dengan lebih baik berbanding kaum minoriti di India, tetapi mereka memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad.
Dia turut meminta pengkritik yang memintanya meninggalkan Malaysia, untuk terlebih dahulu meminta “tetamu lama” dari kaum Cina untuk berbuat demikian.
Zakir bagaimanapun kemudian mendakwa kenyataannya telah diambil luar konteks.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai