Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan Hadi buat Suhakam: Jangan diperbodohkan pihak lain

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAS menempelak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dianggap gagal mengenali pelampau dalam isu tulisan Jawi.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata pelampau sebenar ialah pihak yang mencabar bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi selepas diberikan hak menggunakan bahasa kaum mereka sendiri,

Kumpulan itu, kata Abdul Hadi, ibarat sudah mendapat betis mahukan paha pula.

"Sikap mereka yang telah diberi hak menggunakan bahasa kaum sendiri mencabar bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi umpama sudah mendapat betis mahukan paha, kemudian mahu menelan jasad orang yang berbudi kepadanya.

"Sepatutnya Suhakam mengenali siapa pelampau sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Suhakam mengkritik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang penganjuran sidang berkaitan tulisan Jawi oleh Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Menurut Suhakam, tindakan tersebut boleh dianggap menafikan hak Dong Zong untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun seperti ditetapkan perlembagaan.

Kata suruhanjaya berkenaan, PDRM dilihat tunduk kepada ancaman keganasan yang dibuat pihak tertentu sedangkan sepatutnya pasukan keselamatan bertanggungjawab memastikan program itu berlangsung dengan aman.


Baca Sebar Islam lebih mudah dengan bahasa ibunda


Untuk rekod, beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut mengancam untuk mengadakan perhimpunan balas jika Dong Zong meneruskan persidangan mereka.

Abdul Hadi berkata sebelum ini Suhajam juga pernah menganggap Kongres Maruah Melayu boleh menggugat hubungan antara kaum di negara ini.

Menurut ahli parlimen Marang itu, Suhakam tidak boleh menyamakan definisi kebebasan dan hak asasi manusia dengan Barat yang berbeza suasana serta masyarakatnya.

Kata Abdul Hadi, biarlah Barat mentafsirkan sendiri hak asasi mereka sehingga meletakkan hak binatang lebih penting daripada manusia.

"Jangan perbodohkan pihak lain, dan tahu di mana bumi kita berpijak - iaitu bumi Malaysia - bukannya negara asing.

"Sangat malang kalau kakinya berpijak di Malaysia tetapi otaknya masih dijajah oleh pihak asing," katanya.