Dong Zong hormati hak Gamis berhimpun selagi aman
Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng menyokong hak kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Sem-Malaysia (Gamis) untuk berhimpun secara aman.
Menerusi hantaran di Facebook, Ng berkata beliau tidak mahu melihat polis menghalang hak Gamis untuk berhimpun secara aman sebagaimana dilakukan terhadap kongres Jawi anjuran Dong Zong pada 29 Disember lalu.
"Dong Zong berpegang teguh kepada dua prinsip berikut iaitu manusia dicpita berlainan supaya kita dapat saling mengenali dan semua bahasa dan tulisan adalah kurniaan Tuhan, yang harus dipelihara dan dihargai oleh semua insan," kata Ng.
"Maka, kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mendukung multi-lingualisme, dan juga berdialog dengan mana-mana pihak yang menolak kedua-dua prinsip ini," katanya.
Katanya, Dong Zong adalah sebuah badan yang menghormati hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman - seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan - untuk semua individu dan kumpulan termasuk Gamis dan mana-mana pihak lain yang menuntut pendaftaran badan itu dibatalkan.
"Kami tidak akan mengugut dengan keganasan atau menuntut agar pendaftaran pihak berkenaan dibatalkan. Sekalipun kami tidak setuju dengan apa yang anda perkatakan, kami sanggup bermati-matian demi mempertahankan hak anda untuk bersuara," jelasnya.
Katanya, pihak polis tidak harus memohon perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan anti-DZ sekalipun kesemua pesertanya "berasal dari kaum dan agama yang sama".
"Kesilapan lalu tidak mewajarkan kesilapan baru. Kami tidak mahu melihat pihak polis mencabul hak Gamis untuk berhimpun secara aman, seperti mana polis mencabul hak kami untuk berhimpun secara aman beberapa hari lalu, sungguh pun dengan berbuat demikian boleh memberi gambaran bahawa polis tidak memilih bulu dalam isu ini," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berharap pihak polis memantau rapi perhimpunan tersebut dan tidak teragak-agak untuk menahan sesiapa sahaja yang mengancam melakukan keganasan - sama ada secara jelas atau tersirat - di bawah tuduhan ugutan jenayah .
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak polis dan Jabatan Peguam Negara untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa keganasan dan ugutan mengundang padah di sisi undang-undang.
"Kami berharap perhimpunan ini mencerminkan akal budi serta kematangan intelektual pihak penganjur, sebagai siswa siswi yang mengaji di institusi pendidikan tinggi.
"Paling penting, kami berharap agar perhimpunan ini juga memperlihtkan imej yang sejajar dengan Islam, sebagai agama yang menjunjung keamanan dan keadilan. Sesungguhnya kedua-dua nilai ini amat diperlukan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," kata Ng.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai