Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan sekolah arah ibu bapa beli kerusi, meja disiasat - Exco

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan ibu bapa diarahkan pihak pengurusan sebuah sekolah menengah di Batu Berendam di Melaka membeli kerusi dan meja untuk anak mereka bagi sesi persekolahan 2020.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Noor Effendi Ahmad berkata Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah atau Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk ibu bapa membeli kerusi atau meja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah media berbahasa Melayu semalam bahawa terdapat ibu bapa di Melaka mendakwa diarah membeli kerusi dan meja bagi membolehkan anak mereka memasuki sekolah terlibat disebabkan kemudahan itu tidak mencukupi.

Noor Effendi berkata maklumat awal yang diperoleh mendapati berlaku salah faham antara pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa pelajar tingkatan satu terlibat berikutan ibu bapa itu ingin memindahkan anak mereka ke sekolah itu di saat akhir.

Kebiasaannya pihak sekolah sentiasa memberi pertimbangan pada ibu bapa dan pelajar yang ingin tukar sekolah tetapi ia bergantung pada kuota dan kemudahan yang terdapat di sesebuah sekolah terlibat, katanya selepas meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Padang Temu di sini bersempena hari pertama sesi persekolahan 2020. Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad.

"Pada saya isu ini sengaja diperbesarkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif memastikan kerusi dan meja cukup," katanya.

Noor Effendi berkata setakat ini hanya dua sekolah iaitu sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di negeri ini dilaporkan manghadapi kekurangan meja dan kerusi ekoran masalah penempatan berubah di saat akhir sebelum sesi persekolahan bermula.

Sementara itu, Mohd Azam berkata penyediaan kemudahan asas bagi memastikan pelajar di sekolah kerajaan dapat belajar dengan selesa merupakan tanggungjawab kerajaan khususnya melibatkan empat perkara asas iaitu bangunan, kerusi meja, buku teks dan guru.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi mengurangkan beban yang dihadapi kerajaan dan tidak melibatkan ibu bapa secara individu.

- Bernama