421 program pendidikan khas integrasi dibuka tahun ini
Sebanyak 421 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibuka tahun ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 7,600 orang lagi Murid Berkeperluan Khas (MBK), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata pelaksanaan PPKI itu yang membabitkan 1,109 buah kelas juga bakal memberikan akses pendidikan yang lebih mudah serta berhampiran kawasan kediaman golongan pelajar itu.
“Peluasan (program) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta adalah bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.
“Dari segi penyelenggaraan pula, bagi tahun ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi menyelenggara 320 buah sekolah lagi dan jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur MBK,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersempena hari pertama sesi persekolahan tahun ini di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Maszlee berkata pada 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.
“Pertambahan ini menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan yang telah dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya yang juga merupakan aset kepada negara,” katanya.
Selain itu, Maszlee berkata sebanyak 75 sekolah telah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang menawarkan PPKI daripada peringkat prasekolah ke peringkat menengah di negara ini adalah sebanyak 2,418 buah.
Beliau berkata pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif yang menjadi keutamaan kementerian selaras dengan Dasar Sifar Penolakan yang diumumkan baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas berhubung program pertukaran guru secara ‘suka sama suka’ yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM pada tahun ini, Maszlee berkata ia bakal dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi dalam talian
“Pada tahun 2020 dan tahun akan datang sistem pertukaran guru akan lebih tersusun dan ia akan dilaksanakan berdasarkan sistem digital. KPM akan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya,“ katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai