Peguam akan panggil rakan pelajar PhD Nigeria beri keterangan
Peguam yang mewakili keluarga pelajar Nigeria yang mati ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen Julai tahun lalu berhasrat memanggil rakan mangsa, yang ditahan bersamanya ketika itu, untuk memberi keterangan dalam inkues untuk menentukan punca kematiannya.
Menurut peguam Rajesh Nagarajan, rakan kepada mangsa, Thomas Orhions Ewansiha, mendakwa Ewansiha telah meminta bantuan perubatan selama tiga hari, sebelum kematiannya pada 9 Julai 2019.
"Ada kira-kira 10 tahanan yang berkongsi lokap dengan mangsa, sementara lokap di depan ada lagi 10 hingga 15 orang.
"Saksi mengatakan dia (Ewansiha) menjerit dan menggoncang pagar lokap, meminta untuk berjumpa doktor selama tiga hari sebelum kematiannya," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Koroner Kuala Lumpur hari ini.
Hari ini bermula inkues untuk menentukan kematiannya di depan Koroner Mahyon Talib. Pegawai pengendali inkues Nurliyana Mohd Hafri memaklumkan kepada mahkamah dia merancang untuk memanggil sejumlah 30 saksi.
Menurut Rajesh, saksi yang disediakan Nurliyana termasuk mereka yang mungkin warga asing, yang dipercayainya termasuklah beberapa tahanan.
Tetapi dia mengesahkan tiada kawan Ewansiha, yang ditahan bersamanya dalam serbuan Jabatan Imigresen di Kepong, termasuk dalam senarai itu.
Ewansiha, 34, merupakan pelajar doktor falsafah di sebuah kolej swasta di Lembah Klang, mati di Depot Tahanan Jabatan Imigresen di Bukit Jalil pada awal pagi 9 Julai lalu, lima hari selepas ditahan.
Isterinya, Blessing Uhunoma Eriamiator, sejak itu menggesa inkues dilakukan terhadap kematiannya.
Rajesh berkata lagi, pihaknya juga akan memohon subpoena daripada mahkamah untuk mendapatkan rakaman kamera keselamatan di depot tahanan.
Sementara itu, ketika sesi inkues hari ini, tiga pegawai polis dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan, termasuk dua jurugambar yang merakam imej tempat kejadian dan ketika bedah siasat Ewansiha di Universiti UKM.
Corporal Kamarulzaman Jamuie memberitahu mahkamah yang dia mengambil 15 gambar di tempat kejadian dan badan Ewansihat pada 9 Julai.
Ia termasuk dua gambar yang menumpukan bahagian kaki mangsa, yang menunjukkan kaki kanan yang cedera. Mahkamah belum memastikan punca kecederaan itu.
Kamarulzaman berkata, dia kembali ke depot tahanan beberapa hari kemudian selepas diarah pegawai penyiasat Inspektor Noorsuhana Shamsudin untuk mengambil gambar simpanan ubat-ubatan di sana.
Bagaimanapun dia tidak ingat tarikh dia mengambil gambar itu.
Katanya lagi, dia turut mengambil sekeping gambar botol pil, yang diberitahu kepadanya merupakan ubat yang diberi kepada mangsa sebelum kematiannya.
"Saya tak ingat (nama ubat), tetapi kakitangan ialah pegawai perubatan di (depot) Imigresen," katanya.
Sebelum ini, seorang lagi anggota polis, Korporal Wan Mohamad Fuad Wan Muda, yang bertugas di pusat kawalan polis Daerah Cheras, memberitahu mahkamah dia menerima maklumat berkenaan insiden itu menerusi panggilan telefon pada pukul 12.42 pagi, 9 Julai.
Katanya, pemanggil itu, yang memperkenalkan diri sebagai Cik Ashikin daripada depot Imigresen, berkata ada seorang tahanan lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh seorang pembantu perubatan daripada Hospital UKM.
Inkues akan bersambung 7 Januari.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai