Skip to main
Logo Malaysiakini

Nik Nazmi tuntut komitmen serahan kuasa PM dilaksanakan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kurang 24 jam selepas pengumuman peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad tampil menggesa supaya PH menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada tuntutan rakyat yang mahukan jawapan jelas berhubung peralihan kuasa perdana menteri sebagaimana Muafakat PH yang diumumkan pada 6 Jan 2018.

"Majlis Presiden PH harus secara jelas memberikan komitmen kepada tarikh peralihan perdana menteri ketujuh, daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar pada Mei 2020 sebagaimana yang pernah dinyatakan kepada rakyat.

"Ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan demi kebaikan negara kita.

"Penduduk kawasan saya - sama ada yang ditemui di pasar, penjawat awam di Putrajaya mahupun ahli perniagaan - mereka mahukan jawapan yang jelas dalam perkara ini," katanya dalan satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini, Mahathir berulang kali menyatakan komitmennya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar tetapi tidak meletakkan tarikh khusus untuk itu.

Nik Nazmi yang juga ketua setiausaha pengelola PKR berkata, selain itu PH juga perlu berusaha untuk menyampaikan agendanya dengan berkesan kepada rakyat Malaysia, serta memperkasakan individu yang berada dalam kerajaan.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Maszlee, Nik Nazmi berterima kasih atas khidmat ahli parlimen Simpang Renggam itu selama memegang jawatan tersebut.

"Portfolio Kementerian Pendidikan bukanlah sesuatu yang mudah. Walapun kami ada berbeza pandangan, pada hakikatnya Dr Maszlee dapat mencapai perkara konkrit walaupun perlu menghadapi banyak cabaran," katanya.

Peletakan jawatan Maszlee itu diumumkan pada satu sidang media di Putrajaya petang semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Mahathir, yang beliau sifatkan sebagai ayahandanya.