Skip to main
Logo Malaysiakini

Teo titip pesanan Buya Hamka buat Maszlee

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini menyatakan ucapan penghargaannya kepada Dr Maszlee Malik, sehari selepas peletakan jawatannya yang mencetuskan kejutan semalam.

Menyifatkan Maszlee sebagai seorang yang kuat semangat dan tidak kenal erti kalah, Teo berkata banyak yang dipelajarinya daripada bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

"Mengemudi satu kementerian yang besar bukan tugas mudah. Pelbagai perubahan positif telah beliau bawa demi menambah baik sistem pendidikan negara di peringkat pendidikan asas mahupun pendidikan tinggi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala tunjuk ajar dan pimpinan Dr Maszlee sepanjang kami berkhidmat bersama," katanya di Facebook.

Dalam ucapan itu, Teo turut menitipkan kata-kata ulama dan sasterawan ternama Indonesia, Allahyarham Prof Abdul Malik Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka.

Buya Hamka

Kata-kata itu berbunyi: "Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua".

Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan menerusi sidang media khas di Putrajaya petang semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Ucapan peletakan jawatan Maszlee Malik

Surat kepada YB pengganti Pak Cik Maszlee


Beliau berkata keputusan itu dibuat "dengan hati yang reda walaupun berat" atas nasihat Mahathir.

Dalam sidang media itu, beliau sempat menyenaraikan beberapa pencapaian Kementerian Pendidikan sepanjang mengetuainya selama kira-kira 20 bulan, antaranya dasar inklusif untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen, inisiatif pengurangan beban guru, bacaan Auku di Parlimen serta penyiapan hampir 90 peratus projek sekolah daif yang siap lebih awal.

Pada masa sama, beliau berkata dirinya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan antaranya melibatkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

Sebaik pengumuman itu, satu petisyen atas talian dimulakan untuk menggesa beliau dikekalkan yang setakat ini telah mengumpul lebih 340,000 tandatangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, Dr Mahathir berkata pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi.