Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin: Fokus laksana manifesto, bukan bangkitkan tarikh serah kuasa PM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah, menegaskan gabungan itu perlu memberikan fokus yang penuh pada pelaksanaan manifestonya, bukan membangkitkan semula isu tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Kenyataan itu hadir hanya beberapa jam selepas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kepemimpinan PH menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, pada Mei ini demi kebaikan negara.

Kenyataan Nik Nazmi itu selari dengan beberapa laporan sebelum ini yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar selepas dua tahun memegang jawatan.

“Saya bersetuju bahawa kita perlu melaksanakan dan menunaikan manifesto PH,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, sepanjang tempoh 20 bulan lalu, pelbagai usaha digerakkan untuk memenuhi janji yang termaktub dalam Buku Harapan, termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto pada 8 Julai 2019 yang dipengerusikan Senator Liew Chin Tong.

Mengulas tentang peralihan kuasa, Saifuddin berkata, meskipun wujud permuafakatan PH pada 6 Jan 2018 untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan, tarikh peralihan tidak ada dinyatakan secara muktamad.

“Justeru itu, tarikh peralihan kuasa perdana menteri pada Mei 2020 tidak timbul sama sekali.

“[...] Sebarang soal peralihan kuasa harus dikembalikan kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik kenyataan dibuat Mahathir pada 10 Dis 2019, Saifuddin menambah, sekiranya isu peralihan kuasa masih ingin ditimbulkan, ia akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada hujung tahun ini. 

Pada 10 Disember, Mahathir berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar sebelum sidang kemuncak Apec 2020 yang akan dianjur oleh Malaysia November tahun ini.

Ketika itu, Mahathir yang bakal mencecah usia 95 tahun, akan menjadi pemimpin yang menerajui menerajui pemerintahan kerajaan PH selama dua setengah tahun.

Ia merupakan separuh penggal daripada tempoh lima tahun sesuatu kerajaan sebelum perlu mengadakan pilihan raya umum.

Pada masa sama terdapat gesaan daripada beberapa pihak, termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, supaya Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Kenyataan dibuat Saifuddin itu sekali lagi menonjolkan pertembungan dua kumpulan berbeza dalam PKR selepas ia berlangsung dengan tegang semasa parti itu mengadakan kongres di Melaka baru-baru ini.