Skip to main
Logo Malaysiakini

Papan tanda ucapan tahun baru Hisham dirobohkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Papan tanda memaparkan ucapan tahun baru oleh ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein di sekitar kawasan DUN Paloh, dirobohkan oleh pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Perkara itu disahkan oleh Adun Paloh, Syeikh Umar Ali mendakwa bahawa dirinya difahamkan tindakan itu dilakukan berikutan pemasangan papan tanda yang tidak mematuhi peraturan.

"Saya pun tak ada waktu kejadian tu tapi saya difahamkan yang menurunkan tu pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan saya tak ada pun beri sebarang arahan.

"Cuma saya difahamkan adalah disebabkan oleh faktor-faktor berkaitan dengan legality - tak mematuhi peraturan.

"Saya tak pasti secara terperincinya macam mana tapi ada kaitan dengan dari segi peraturan dan undang-undang yang tidak dipatuhi di peringkat penggantungan billboard tu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, satu video yang dimuatnaik di Facebook Sembrong P153, menunjukkan pihak berkuasa bertindak merobohkan papan tanda tersebut.

Laman Facebook itu mendakwa tindakan MPK merobohkan papan tanda itu ialah kesan daripada tekanan politik kerajaan Pakatan Harapan.

"Ia tidak mustahil memandangkan DUN Paloh kini diterajui DAP. Malah, sebahagian besar Ahli Majlis MPK juga dilantik oleh PH - DAP.

"Jadi, tidak hairanlah mengapa mereka langsung tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sedangkal ini," menurut halaman Facebook itu.

Menurutnya lagi, Pusat Khidmat Parlimen Sembrong telah mendapatkan kebenaran MPK sebelum papan tanda itu didirikan.

Hantaran itu turut dikongsi oleh Hishammuddin di Facebook beliau dengan kapsyen "Zalim!"

Pada masa sama, Malaysiakini sedang cuba menghubungi YDP MPK, Mohd Rafi Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut.