Maszlee dipaksa letak jawatan, kata Najib
Peletakan jawatan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik adalah dibuat "secara paksaan", kata bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Katanya, peletakan jawatan ahli parlimen Bersatu itu membuktikan Pakatan Harapan (PH) sedang berdepan dengan masalah dalaman yang parah.
"Banyak masalah dalaman kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya, dia (Maszlee) disuruh letak jawatan, bukan dia (mahu) letak jawatan, (sebaliknya) disuruh letak jawatan kerana tekanan dari luar dan juga dari dalam .
"Ini menyebabkan tentu sekali apa-apa isu yang berkaitan kementerian pendidikan menimbulkan satu bentuk ketidakpuasan yang amat sangat yang menyebabkan rakyat tunjuk tidak puas hati dan saya yakin parti-parti dalam PH pun hendak supaya beliau meletak jawatan," kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut petang tadi.
Katanya, Maszlee berdepan dengan tekanan bukan saja dari dalam, malah tekanan rakyat yang menyebabkan beliau terpaksa berundur dan dijadikan "kambing hitam".
"Dia perkenalkan kasut hitam tapi akhirnya dia dikambinghitamkan," katanya.
Semalam, Maszlee dalam satu sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata, keputusan dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan sebagai ayahanda tetapi tidak mendedahkan sebab beliau berhenti.
Walau bagaimanapun, Maszlee mengeluh di sebalik banyak pencapaian kementeriannya, ia telah dibayangi oleh laporan negatif media dan permainan politik.
Bekas pensyarah itu, kebelakangan ini kerap menjadi sasaran kritikan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai