Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dr Maszlee, jasamu dikenang' - Guan Eng

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jasa bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik kepada kerajaan tetap dikenang walaupun hanya menjadi anggota kabinet selama 20 bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau menzahirkan penghargaan itu ketika diminta mengulas peletakan jawatan Maszlee sebagai menteri pendidikan yang berkuat kuasa hari ini.

“Saya menghargai jasa Dr Maszlee walaupun banyak cabaran yang dihadapinya selama bertugas sebagai menteri pendidikan.

“Beliau telah menjadi anggota kabinet yang menghormati prinsip solidariti dalam menjalankan tanggungjawab bersama, dalam apa keputusan yang dicapai oleh kabinet,” katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, See Chee How berkata Dr Maszlee ialah seorang yang gigih dan amat prihatin mengenai sekolah dan murid.

Telah buat yang terbaik

Beliau dipetik Bernama berkata, Dr Maszlee telah berusaha sekurang-kurangnya tiga kali melawat bagi melihat keadaan sekolah yang usang di Sarawak sepanjang tempoh 20 bulan memegang jawatan menteri pendidikan.

“Beliau amat prihatin hingga meminta kami menyediakan senarai sekolah berkenaan untuk diberi keutamaan, pergi dan melawatnya.

“Beliau telah melakukan yang terbaik," jelasnya.

See berkata demikian kepada pemberita semasa program ‘Back to School 2020’ di Sekolah St. Andrew di Kuching, hari ini.

"Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, akan terdapat orang yang tidak berpuas hati dengan apa jua.

"Apa pun, saya mendoakan beliau yang terbaik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan menerusi sidang media khas di Putrajaya, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebaik Maszlee membuat pengumuman peletakan jawatannya, satu petisyen atas talian dimulakan untuk menggesa beliau dikekalkan yang setakat berita ini ditulis telah mengumpul 364,755 tandatangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, Dr Mahathir berkata pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi.

Tindakan pramatang

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminudin Awang pula dilaporkan Bernama berkata warga pendidik mendambakan seorang peneraju KPM yang mampu meneruskan legasi perjuangan Maszlee terutama dalam aspek pertukaran guru duka lara.

Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) pula menyifatkan peletakan jawatan Maszlee sebagai tindakan pramatang.

Presidennya Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata ini memandangkan beliau kini dalam proses menambah baik banyak perkara dalam sektor pendidikan.

"Dr Maszlee telah melakukan yang terbaik dalam mereformasikan sektor pendidikan dan ia telah berhasil. 

"Tiada siapa yang boleh melakukan sepertinya dalam tempoh pendek dan tiada pengalaman sebagai menteri sebelum ini,” katanya pada suatu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Idrus berkata dengan peletakan jawatan itu, ia akan merencatkan perancangan pelan perubahan di peringkat pendidikan tinggi negara, yang dirancang sebelum ini.

"Oleh itu, bagi memastikan kesinambungan itu, MAAC mencadangkan kepada kerajaan agar Kementerian Pengajian Tinggi atau setara dengannya diwujudkan semula dan Dr Maszlee dilantik sebagai menteri.

"Ini bagi memastikan menteri dapat menfokuskan kepada usaha meningkatkan kualiti sumber manusia di masa hadapan bagi menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)," katanya.