Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembunuhan komander Iran: Pesaing calon presiden Demokrat kecam Trump

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pesaing calon presiden Parti Demokrat semalam mengecam serangan udara yang membunuh komander tentera Iran Qassem Soleimani, dengan berkata keputusan Donald Trump adalah cuai dan boleh menyebabkan Amerika Syarikat (AS) terjerumus ke satu lagi perang di Timur Tengah.

"Presiden Trump melontarkan dinamit ke tempat yang mudah meletus," kata bekas naib presiden Joe Biden. Pasukan kempennya mengeluarkan iklan atas talian 30 saat yang menunjukkannya sebagai pemimpin "teruji dan dipercayai di seluruh dunia" berbanding kepresidenan Trump yang "tak stabil dan tak menentu".

"Kita di pinggir satu lagi perang di Timur Tengah," kata senator Elizabeth Warren. "Kita di sini bukan secara tidak sengaja. Kita di sini kerana seorang presiden yang semberono, sekutu dan pentadbirannya yang bertahun menolak kita ke sini."

Pembunuhan Soleimani, yang dianggap tokoh kedua paling berkuasa di Iran, merupakan peningkatan permusuhan yang dramatik di Timur Tengah antara Iran dengan AS dan sekutunya.

Konflik berpanjangan boleh membentuk semula pilihan raya yang setakat ini didominasi isu domestik, seperti kesihatan dan wang dalam politik, kata strategis. Walau ia perkara yang baik buat calon-calon Demokrat seperti Biden, yang menekankan kelayakan dan pengalaman dalam dasar luar, calon yang kurang dikenali boleh berdepan kesukaran untuk suara mereka didengar.

"Pihak yang paling menerima manfaat dalam persaingan Parti Demokrat adalah empat calon utama," kata strategis Demokrat Steve Elmendorf, merujuk Biden, Warren, senator Bernie Sanders dan bekas datuk bandar South Bend, Indiana, Pete Buttigieg.

"Tiada siapa di belakang mereka yang akan ada peluang untuk melaraskan semula persaingan dan mengubahnya, kata Elmendorf, seorang penyokong Buttigieg.

Pete Buttigieg

Pesaing Parti Demokrat dijadual berdepan pengundi untuk kali pertama dalam masa sebulan, apabila Iow memulakan persaingan pencalonan negeri pada 3 Feb ini.

Tinjauan pandangan umum menunjukkan warga AS, secara umumnya, menentang campur tangan ketenteraan di luar negara. Tinjauan tahun lalu oleh Chicago Council on Global Affairs mendapati hanya 27 peratus rakyat percaya campur tangan ketenteraan akan menjadikan AS lebih selamat, dan lebih separuh berkata ia akan membahayakan negara.

"Ada persoalan serius berkenaan bagaimana keputusan ini dibuat dan sama ada kita bersedia dengan kesannya," kata Buttigieg, bekas pegawai tentera yang pernah berkhidmat di Afghanistan.

Trump berkata serangan itu bertujuan menggangu "serangan jahat dan akan berlaku" terhadap warga Amerika. Beberapa pihak dari Parti Republican memujinya kerana mengembalikan kekuatan dan kepimpinan AS.

"Di saat presiden berdepan pendakwaan pemecatan oleh Demokrat, tidak salah untuknya menunjukkan kekuatan di depan ancaman luar," kata strategis Republican Ron Bonjean, yang dekat dengan Rumah Putih.

Bernie Sanders

Sementara Demokrat bersatu dalam mengecam keputusan Trump, ada sedikit perbezaan dalam respons mereka. Biden dan Buttigieg membayangkan mereka melihat Soleimani sebagai ancaman keselamatan yang menyemai huru-hara di wilayah itu, manakala Sanders dan Warren merujukknya dengan lebih neutral dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai "pembunuhan".

Sanders, yang konsisten menentang campur tangan tentera AS di luar negara, membandingkan serangan itu dengan keutamaan domestiknya seperti penjagaan kesihatan universal, penambahbaikan kemudahan dan langkah melawan perubahan iklim.

"Kita perlu melabur dalam keperluan rakyat Amerika, bukan membelanjakan trilion lagi untuk perang tak berpenghujung," katanya dalam satu acara kempen di Anamosa, Iowa,

Sanders juga menyebut undinya yang menentang perang di Iraq pada 2002, yang sering dibangkitkannya sebagai perbezaan dengan Biden, bekas pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, yang menyokong perang itu.

Tulsi Gabbard, seorang ahli dewan dan veteran perang Iraq yang juga menentang campur tangan tentera AS, berkata serangan itu menunjukkan "kita perlu segera keluar dari Iraq dan Syria".

"Itu saja cara untuk kita mengelakkan diri daripada diheret ke dalam kancah ini, semakin dalam ke arah perang dengan Iran," katanya di Twitter, dengan tanda pagar #WWIII.

-Reuters