Bertuahnya kalau kita pandai Mandarin, Tamil - Permaisuri
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi pandangannya tentang langkah belajar bahasa ibunda serta bahasa-bahasa lain.
Menulis di Twitter semalam, baginda berkata rakyat "tidak rugi sedikit" pun jika pandai belajar dan menulis dalam bahasa Mandarin dan Tamil.
"Kalau kita pandai baca dan tulis (dalam) Mandarin dan Tamil, bertuahnya kita semua boleh baca surat khabar masing-masing.
"Saya ada darah Kantonis tapi saya tak pandai tulis atau baca (dalam bahasa itu). Alangkah untung kalau saya boleh tulis Kantonis juga," tulisnya lagi menggunakan tulisan Jawi.
Mutakhir ni Tunku Azizah menulis di Twitternya dalam tulisan itu, di tengah-tengah isu pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Berkenaan tulisan itu, Tunku Azizah berkata baginda masih lagi belajar menulisnya.
"Saya tidak pergi sekolah agama di Johor tetapi kerana minat Jawi, saya belajar sendiri dengan membaca akhbar Utusan Melayu.
"Walaupun saya pandai baca, saya tidak lancar menulis Jawi dan kini masih belajar menulisnya," katanya lagi.
Tunku Azizah sebelum ini beberapa kali menunjukkan sokongannya terhadap pengajaran tulisan Jawi, termasuk membangkitkan bidang kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menentukan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai