Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya fikir Kelantan saja, kata Tok Pa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed enggan mengulas panjang berhubung pandangan mengenai dirinya antara pilihan terbaik menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan.

Anggota parlimen daripada Bersatu itu berkata beliau buat masa ini hanya menumpukan perhatian terhadap Kelantan.

"Kalau isu (jadi menteri pendidikan) tak apalah.

"Itu tak ada apa-apa, saya fikir kelantan saja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mustapa mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Shamsul Amri Baharuddin yang melihatnya sebagai pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan di Kementerian Pendidikan.

Selain kedudukan itu merupakan kuota Bersatu, Shamsul Amri berkata Mustapa pernah menjadi menteri pengajian tinggi pada 2006 hingga 2008.

Bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan juga menamakannya, serta Saifuddin Abdullah yang turut pernah menjadi menteri pengajian tinggi, sebagai mereka yang layak untuk menjadi menteri pendidikan.

Saifuddin semalam turut menolak spekulasi yang beliau akan meninggalkan Kementerian Luar untuk ke kementerian itu.

Untuk rekod, Mustapa keluar Umno pada September 2018 - selepas PRU ke-14 - dan menyertai Bersatu sebulan kemudian.

Beliau juga adun Kok Lanas, menjadikannya satu-satunya adun pembangkang di DUN Kelantan selepas pemeteraian kerjasama Umno-PAS pada Oktober tahun lalu.

Khamis lalu, Maszlee dalam sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari.

Tanpa mendedahkan secara jelas sebabnya, beliau berkata keputusan itu dibuat "dengan hati yang reda walaupun berat" atas nasihat Mahathir.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada hari sama, Mahathir berkata pengganti Maszlee akan diumumkan sedikit masa lagi.