Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee masih ada harapan jika konsisten dalam perjuangan - Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik mempunyai masa depan yang cerah dalam politik selagi dia konsisten dalam perjuangan, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Dia masih muda tentu ada harapan. Banyak orang berhenti sebelum dia, patah balik. Perdana menteri berhenti, (kemudian) patah balik. Saya berhenti, kemudian patah balik (menyertai kerajaan).

"Ini soal kesungguhan, konsisten dalam perjuangan," katanya kepada media dalam sidang media di Serdang hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu diminta mengulas sama ada Maszlee akan mempunyai masa depan dalam politik berikutan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan.

Ketika berucap di majlis penghargaan murid-murid cemerlang UPSR sekolah Tamil Selangor, Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Maszlee selama 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan.

"Kita ucapkan penghargaan buat Dr Maszlee. Beliau telah melakukan beberapa pembaharuan, menumpu pada soal mutu pendidikan, walaupun ini tak banyak dibincangkan, yang dbincangkan masalah-masalah yang lebih kontroversial.

"Saya ucap selamat maju jaya pada beliau dalam kerjaya politik berikutnya," katanya.

Susulan itu, Maszlee juga berkata beliau adalah mangsa laporan media negatif yang tidak memberi tumpuan kepada pencapaian kementeriannya dalam tempoh 20 bulan yang lalu.

Mengulas isu lain, Anwar memberi respons terhadap kenyataan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang menggesa sekretariat Pakatan Harapan untuk menetapkan tarikh tahun ini bagi memudahkan peralihan jawatan perdana menteri.

"Ada pandangan begitu tapi sepertimana yang kita persetujui, ia harus dibincang antara saya dengan perdana menteri atau sebaiknya dalam forum Majlis Presiden PH.

"Tapi ia wajar dibincang dalam suasana baik dan tak perlu dihangatkan isu ini," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Akmal, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata: "Saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan".

Bulan lalu, Mahathir, yang berulang kali menegaskan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, berkata bahawa proses itu tidak mungkin berlaku sebelum Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak Apec 2020 pada November tahun ini.